TV AlHijrah saluran TV ke-lima teratas di Malaysia pada awal Januari 2024.
TV AlHijrah saluran TV ke-lima teratas di Malaysia pada awal Januari 2024.
Ridzuan Abdul Rahman


NAFAS baru dengan pengisian program terbaik sepanjang tahun. Itulah tekad stesen TV AlHijrah sempena tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, pihaknya sudah merangka pelbagai program menarik dan bermanfaat sudah untuk penonton setia stesen terbabit.

"TV AlHijrah melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai. Tahun lalu menyaksikan TV AlHijrah kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

"TV AlHijrah berada di kedudukan top 5 daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun lalu.

"Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu," katanya.

Menurutnya, program-program menarik lain yang sudah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023 ialah rancangan Assalamualaikum yang berjaya mencapai 12.5 juta screenview sepanjang tahun.

"Berita AlHijrah berjaya mencapai sebanyak 7.3 juta screenview. Quran@114 juga cemerlang dengan pencapaian screenview 7.3 juta setahun dan Pentas Marhaban dengan 3.2 juta screenview.

"Tahun 2024 TV AlHijrah bermula kompetitif apabila stesen ini berada di tangga lima teratas saluran TV di Malaysia pada awal Januari lalu.

"Untuk tahun ini, kami masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa menepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular," katanya.

Program pertama, Akademi Qurra' 2024 sudah ditayangkan setiap Sabtu, jam 9 malam bermula 20 Januari lalu.

"Program ini kembali di musim baru setelah kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya.

"Uji bakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan Disember lalu, menyaksikan 12 qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensi mentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.

"Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim. Manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan," katanya.

Program terbaik lain yang ditampilkan tahun ini antaranya ialah Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114. Semua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.

Tidak dilupakan, bagi penggemar rancangan 30 Minit Bersama, tahun ini TV AlHijrah membawakan pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi, yang merupakan huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi.

Program ini akan bersiaran setiap hari Selasa jam 8:30 malam.

Namanzee berkata, selain boleh dinikmati di platform televisyen dan aplikasi AlHIjrah Plus, rancangan terbaik stesen ini turut boleh dinikmati pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

"Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TV AlHijrah turut boleh dinikmati penumpang yang menggunakan ETS untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.

"Bukan itu saja, untuk pastikan penumpang ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan 'look & feel' program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.

"Saya cadangkan, ambil masa, berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TV AlHijrah. Semakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui," katanya.

Menurutnya, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8,000 kandungan tersedia dan secara langsung juga sudah dimuat turun oleh 100 ribu pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Kesemua negara ini juga merupakan antara negara yang tertinggi menonton AlHijrah Plus Live TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 6:45 AM