KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.
KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.
Zaara Talita

Konsep haji yang luas menyeru kepada perpaduan, penyatuan umat dan gerakan fizikal hamba yang tunduk di hadapan Allah menjadi intipati utama kepada ibadah ini.

Pada kesedaran beginilah pengertian menjadi tetamu Allah itu akan menjadi bernilai dan bermanfaat kepada semua.

TV AlHijrah tampil dengan sembilan program baharu sempena sambutan Aidiladha pada 29 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, bertemakan Jemputan Haji, antara program menarik yang bakal dihidangkan kepada penonton adalah Program Cinta Ilmu Aidiladha, Labbaikallah dan banyak lagi.

Program dirangka khas itu diharap dapat mencetuskan rasa syukur jemaah terpilih ke Tanah Suci.

"Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati.

"TV AlHijrah turut membariskan beberapa program menarik seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot, Tangisan Baitullah yang sudah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu," katanya.

Namanzee berkata, sebagai media yang sentiasa memperjuangkan Islam, TV AlHijrah terpanggil untuk mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam yang penuh falsafah kehidupan untuk dihayati.

Menaikkan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, TV AlHijrah istiqamah meneruskan agenda dakwahnya melalui beberapa program dirangka khas untuk mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke Tanah Suci.

Antaranya program Cinta Ilmu Aidiladha melalui tiga segmen Islam, Iman dan Ihsan yang akan ditayangkan setiap Isnin hingga Rabu jam 7.30 malam.

Program bual bicara Labbaikallah pula dikekalkan bagi mengundang nostalgia mereka yang pernah menunaikan ibadah ini mahupun mereka yang baru menerima jemputan tahun ini agar dapat mengubat rindu terhadap Baitullah serta mengimbau detik indah ketika melakukan persediaan awal hinggalah Hari Tasyrik.

Ia mula ditayangkan pada 18 Jun lalu hingga 2 Juali ini jam 9 malam. Ia turut mengundang barisan ustaz jemputan seperti Ustaz Jafri, Ustaz Rozi, Ustaz Zarifi, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Hanafiah, Ustazah Muzayyanah dan Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur serta qari Ustaz Tarmizi dan Tilmiz Fahmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 3:51 PM