Sudirman Mohd Tahir


STESEN televisyen, TV Alhijrah melancarkan kempen #MusaadahCovid19 yang dilhamkan sendiri oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) sebagai usaha memanfaatkan keberadaan penonton di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kempen #MusaadahCovid19, TV Alhijrah mahu terus dilihat sebagai stesen yang menyatupadukan ummah menerusi penerbitan rancangan yang berinformasi, terkini dan relevan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, penerbitan dua rancangan baharu iaitu Ngaji On The Go dan #QuranTime Musim Kedua serta beberapa rancangan lain ditambah baik bagi memberikan maklumat terkini kepada penonton seperti rancangan Berita AlHijrah.

"#QuranTime Musim Kedua adalah rancangan baharu yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Warisan Ummah Ikhlas.

"Program ini disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 12 hingga 1 tengah hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.

"Menerusi tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah, rancangan ini menampilkan Tuan Fazrul Ismail, pentadabbur al-Quran yang tidak asing lagi sebagai hos rancangan," katanya.

Namanzee berkata, sepanjang satu jam bersiaran, penonton seisi keluarga berpeluang untuk bertadarus bersama-sama tetamu jemputan yang terdiri daripada pelbagai latar berlakang seperti ilmuan agama, ahli akademik dan ramai lagi. Kesemua mereka akan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dari Pusat Penyiaran Digital TV Alhijrah.

"TV Alhijrah menjadikan program ini sebagai makanan jiwa yang mampu menenangkan, mendidik dan memberi kekuatan dalaman kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam menghadapi ujian Allah yang sangat besar ini.

"Paling penting, #QuranTime dilihat mampu dijadikan platform terbaik untuk menyatukan hati penonton dalam membina tabiat baharu dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT," katanya.

ANTARA program baharu diperkenalkan sepanjang PKP.
ANTARA program baharu diperkenalkan sepanjang PKP.

Sementara itu, Ngaji On The Go adalah rancangan yang disiarkan khusus buat hampir dua juta pelayar internet di platform Facebook TV Alhijrah.

Ngaji On The Go disiarkan pada setiap hari, jam 9 malam hingga 9.30 malam, selama 13 episod yang bermula sejak 2 April lalu.

Rancangan ini dilihat sebagai usaha TV Alhijrah untuk menyantuni dan mendidik penonton setianya di platform online.

Ia adalah pendekatan untuk mempelajari kitab suci al-Quran merentasi jarak secara dua hala bersama Ustazah Amie Sophia.

Paling menarik, Ustazah Amie Sofia akan ditemani rakan-rakan selebriti Malaysia seperti Siti Fazurina Mohd Famir, Ustazah Sharifah Khasif, Ustazah Noni, Ustaz Don, Ustazah Nazrah dan ramai lagi bagi memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran sambil mempelajari ilmu seputar Kalam Allah bermula dengan tajwid dan makhraj al-Quran serta tadabbur kisah-kisah dalam al-Quran.

Dalam masa sama, Namanzee berkata, program Berita Alhijrah dipanjangkan waktu siaran menjadi sejam.

Berita Alhijrah akan bersiaran selama satu jam sepanjang tempoh PKP dilaksanakan iaitu bermula jam 8 hingga 9 malam.

"Menerusi pembaharuan ini, Berita Alhijrah akan meletakkan keutamaan kepada pelbagai cabang laporan berkaitan ancaman Covid-19, namun tidak meminggirkan 'DNA' asalnya yang meletakkan isu kepentingan rakyat sebagai nadi kandungannya.

"Antara tajuk yang dikupas seputar isu wabak Covid-19 adalah seperti ancaman sosial virus Covid-19, sisi pandang agama, perutusan kerajaan dan pengumuman khas, wawancara dan reaksi rakyat, pencegahan dan impak sosioekonomi dan banyak lagi isu menarik lain.

"Turut dimuatkan juga perkongsian secara langsung menerusi aplikasi Skype bersama pesakit, bekas pesakit dan petugas perubatan yang berada di barisan hadapan dalam mendepani ancaman virus pembunuh ini," katanya.

Berita Alhijrah masih mengekalkan enam pembaca berita utama yang mempunyai pengalaman luas di dalam menyampaikan berita iaitu Adi Akmal Sehrom, Ardi Herman Mohd Mardzi, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, Azizah Ariffin, Syafinaz Yunus dan Nadzirah Sharingat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:15 AM