Oleh Sudirman Mohd Tahir


AIDILADHA sinonim dengan kisah pengorbanan.

Paling melekat di ingatan umat Islam sudah semestinya kisah keteguhan hati Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang dinukilkan dalam al-Quran.

Sesungguhnya, kisah berkenaan memberi ibrah yang sangat besar buat seluruh umat manusia.

Ibadah korban bukan sekadar ritual yang berkala, tetapi ia adalah suntikan semangat yang memperingatkan umat manusia terus melakukan pengorbanan yang baik dalam kehidupan seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, Aidiladha atau hari raya korban adalah antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya selepas berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar iaitu haji.

Bagi meraikan sambutan Aidiladha tahun ini, TV Alhijrah menyajikan program dan filem terbaik dengan mengangkat tema Pengorbanan Suci.

"Tahun ini menyaksikan ujian yang cukup besar buat umat Islam seluruh dunia. Serangan pandemik Covid-19 merenggut kemanisan haji yang saban tahun dilaksanakan.

"Kami turut merasai kehilangan dan kekosongan. Manakan tidak, jika tahun lalu, kru TV AlHijrah ke Mekah seawal satu bulan sebelum wukuf untuk membuat liputan secara langsung persiapan serta pelaksanaan haji buat tatapan penonton di Malaysia, namun tahun ini semuanya berubah.

"Bagaimanapun, selaku stesen televisyen yang berikrar untuk menyampaikan ilmu, maklumat serta memeluk emosi rakyat, TV AlHijrah akan terus menceriakan serta memberi nilai tambah dalam sambutan Aidiladha tahun ini dengan menyiarkan pelbagai rancangan istimewa dan terbaik buat penonton.

ANTARA rancangan istimewa sempena Aidiladha di TCV Alhijrah.
ANTARA rancangan istimewa sempena Aidiladha di TCV Alhijrah.

"TV AlHijrah mengangkat tema Pengorbanan Suci sebagai kempen istimewa bagi meraikan Aidiladha tahun ini. Ini bermaksud, semua barisan rancangan istimewa Aidiladha TV AlHijrah menyelitkan dan memaparkan kesungguhan, ketaatan, kesederhanaan, pengorbanan dan kesyukuran hamba yang menagih kasih sayang dan keberkatan Ilahi dalam perjalanan menjadi khalifah terbaik di muka bumi Allah," katanya.

Menurut Namanzee, TV Alhijrah juga bekerjasama dengan Kementerian Media Arab Saudi yang mana berkongsi maklumat terkini perjalanan haji yang hanya dihadkan kepada 10,000 jemaah.

"Informasi ini akan dikongsi menerusi siaran Berita AlHijrah secara langsung setiap hari pada jam 8 malam dan melalui portal berita alhijrahnews.com.

"Kami menaruh harapan supaya penonton terus bersama TV AlHijrah Aidiladha ini bagi menyaksikan pilihan rancangan yang kami sajikan. Moga semua beroleh manfaat dan reda Ilahi," katanya.

TV AlHijrah akan menghidangkan sembilan rancangan istimewa seperti Siaran Langsung Pertukaran Kain Kiswah (30 Julai), Kapsul Tabung Abah (26-30 Julai), Bual Bicara Baitullah Rindu Yang Tertangguh (bermula 27 Julai), Dokumentari Mencari Mabrur (31 Julai), Telefilem Tabung Abah (31 Julai), filem Tiada Tajuk (31 Julai), Filem Lima Penjuru Masjid (1 Ogos), Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha (2 Ogos) dan E-Kaunter Netizen: Syamsul Debat Aidiladha (31 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 6:50 AM