NAMANZEE optimis untuk menghidupkan amalan membaca al-Quran dalam diri setiap penonton umat beragama Islam di Malaysia.
NAMANZEE optimis untuk menghidupkan amalan membaca al-Quran dalam diri setiap penonton umat beragama Islam di Malaysia.
Najiy Jefri


AL-QURAN adalah puncak segala mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Ia juga sebagai panduan hidup seluruh umat manusia yang dipertanggungjawabkan menjadi khalifah di muka bumi ini.

Bagi menghidupkan al-Quran dalam hati dan kehidupan seharian umat Islam di Malaysia, TV Alhijrah tampil memperkenalkan lima program utama sempena tahun baharu 2023 khusus buat penonton setianya.

Enggan masyarakat beragama Islam 'hanyut' dengan sajian hiburan semata-mata, TV Alhijrah mengajak umat Islam untuk sama-sama mengikuti program Quran@114 yang berorientasikan tadabbur iaitu menghayati dan merenung sehingga meresap makna ayat al-Quran itu ke dalam hati dengan suntikan tajwid dan taranum.

Quran@114 ini sudah mula menemui penonton sejak 1 Januari lalu dan diketuai oleh beberapa personaliti dan tenaga pengajar hebat mengikut kepakaran masing-masing.

Antaranya Imam Muda Hassan, Ustaz Dr Shamsul Mohd Noor, Prof Sharifah Hayaati Syed Ismail, Ustazah Isfadiah Mohd Dusuki, Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Asraf Razali, Ustazah Aisyah Baa'in dan Ustazah Nur Ruzana Natiah Jaafar.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, al-Quran perlu berada dalam diri setiap insan dan berharap program Quran@114 ini dapat mengubah sifat seseorang untuk mendekatkan diri dengan agama.

"Saya nak jadikan amalan membaca al-Quran ini sebagai satu sifat semula jadi yang perlu ada dalam diri setiap insan. Kalau sehari kita ada 24 jam, apa salahnya kita peruntukan sekurang-kurangnya satu jam untuk fokus kepada al-Quran.

"Ini antara sasaran kami di TV Alhijrah untuk memastikan penonton terus mencintai al-Quran dan mengamalkan dalam kehidupan seharian mereka," katanya.

Bukan hanya itu, TV Alhijrah juga buat pertama kalinya memperkenalkan program realiti mengaji pertama yang bermatlamat melahirkan generasi Qurani yang menjadi pelapis kepada asatizah bidang al-Quran.

Program yang diberi nama Akademi Qurra' ini bakal menampilkan 12 peserta mendalami ilmu al-Quran dalam tempoh 10 minggu yang penuh warna-warni, namun hanya seorang peserta yang benar memahami inti pati al-Quran akan diumumkan sebagai pemenang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 beserta, trofi, sijil dan hadiah sampingan.

Program realiti yang bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Januari ini bakal dihoskan oleh Fakhrul UNIC manakala barisan juri tetap pula ialah Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

Selain itu, setiap peserta akan memiliki mentor yang akan menurunkan segala ilmu berkenaan keindahan al-Quran. Antaranya adalah Ustazah Farhatul Fairuzah, Ustaz Ammar Mukhlis dan Ustaz Furqan Fawwaz.

Namanzee berkata, melihat kebanjiran program realiti hiburan sekarang ini pihaknya terdetik untuk membawakan program realiti agama yang sudah lama tidak dibawakan oleh mana-mana stesen TV.

"Mana hilangnya program realiti agama? Rasanya sudah tiada jadi kita mengharapkan program ini akan menjadi permulaan dan panduan supaya program realiti agama terus dihidupkan.

"Saya berharap program ini dapat memberi impak positif kepada orang ramai kerana peserta yang mengambil bahagian bukan saja dalam kalangan ahli agama tetapi individu yang minat mengaji secara bertaranum juga akan bersama dalam program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 6:04 AM