ANGGOTA Slam dan UK’s gigih berlatih di studio untuk menampilkan persembahan terbaik kepada peminat. - FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA Slam dan UK’s gigih berlatih di studio untuk menampilkan persembahan terbaik kepada peminat. - FOTO Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuanhmetro.com.my

Gandingan UK's dan Slam yang bakal menjayakan Concert UK'Slam Musical di Stadium Shah Alam pada 3 Februari depan semakin membentuk keserasian di dalam persembahan mereka.

Meninjau ke studio latihan di Sungai Buloh baru-baru ini, kedua-dua kumpulan terbabit melahirkan perasaan teruja kerana persiapan konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment semakin menampakkan kejayaan.

Dua kumpulan yang juga figura terkenal dan kesukaan ramai peminat pada era 1990-an itu akan menyampaikan sembilan lagu secara solo manakala 12 lagu lagi beradu secara duet.

Justeru, berdasarkan jumlah lagu keseluruhan ditampilkan mereka bakal menyanyikan 30 lagu dalam tempoh masa persembahan tiga jam.

Pemain gitar Slam, Shah ditemui berkata, mereka sepakat menyerahkan konsep persembahan kepada penganjur termasuk pilihan lagu duet untuk dipersembahkan pada konsert itu.

"Kami ikut saja apa kata dan pilihan pihak penganjur. Cuma, kami bagi mereka senarai lagu untuk dipilih pada persembahan duet itu. Bagi saya, ia satu benda bagus untuk ikut apa yang dirancang penganjur.

"Kita laksanakan saja kerana Bombbay sebagai pengarah muzik adalah seorang yang berpengalaman. Ikut saja formulanya (Bombbay) untuk konsert ini.

"Apa yang penting kami cuba bagi komitmen sebaik mungkin. Untuk persembahan solo, ada perubahan untuk Slam iaitu warna muzik kami semasa 'live' itu akan tampil lain," katanya.

BOMBBAY (kanan) yakin peminat yang hadir akan terhibur dengan konsert ini. - FOTO Asyraf Hamzah
BOMBBAY (kanan) yakin peminat yang hadir akan terhibur dengan konsert ini. - FOTO Asyraf Hamzah

BENTUK keserasian untuk konsert. - FOTO Asyraf Hamzah
BENTUK keserasian untuk konsert. - FOTO Asyraf Hamzah

Menurut Shah, melihat pada nama Slam dan UK's juga pastinya membuatkan peminat sudah tahu macam mana muzik dan persembahan mereka.

"Jadi tiada tekanan untuk kami menyanyikan genre lagu rancak atau sebagainya. Sama ada 'moderate' ke, rancak dan balada, itu yang peminat mahukan dan kami menghormatinya. Itu lagu yang peminat boleh 'sing along' pun," katanya.

Sementara itu, Bombbay atau nama sebenarnya Zamberi Shaari berkata, tiada lagu orang lain akan dinyanyikan kerana Slam dan UK's mempunyai banyak koleksi lagu-lagu popular.

"Memang mereka fokus pada lagu sendiri. Malah, sebenarnya tak cukup masa pun. Termasuk nak pilih lagu untuk cantumkan duet pun sangat susah sebenarnya.

"Apatah lagi, pemilihan lagu-lagu berdasarkan pada lirik, muzik dan penyampaian. Barulah nampak selari dengan duet. Selain itu, jumlah 30 lagu walaupun macam banyak tapi kalau persembahan bagus orang (penonton) takkan bosan.

"Ditambah, Zamani dan Amir juga kena bercakap berkenaan cerita di sebalik sesebuah lagu itu. Jadi, mereka akan mencantikkan dan buat benda lagi bagus. Setiap mereka awalnya tampil berasingan dan kemudian baru bergabung," katanya.

Bombbay berkata, 12 pembeli tiket tanpa mengira kategori berpeluang memenangi cabutan bertuah iaitu kesempatan menaiki helikopter sumbangan daripada HeliBro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 6:48 AM