PERSEMBAHAN khas bersama Saari Amri.
PERSEMBAHAN khas bersama Saari Amri.
Ridzuan Abdul Rahman


ADA cerita dalam setiap lagu ciptaan komposer prolifik Saari Amri. Melodinya yang bersifat kemelayuan berhantu, manakala liriknya dekat dengan masyarakat kebanyakan yang memaparkan keluh-kesah sang jejaka terhadap si gadis, luahan perasaan serta darjat yang membezakan.

Ditambah pula penghayatan dan kelunakan Amir menyanyikan lagu-lagu ini menjadikan ia melekat di jiwa pendengar sekitar pertengahan 1990-an dan meninggalkan kesan sehingga hari ini.

Ramuan ini yang membawa kejayaan terhadap gandingan hebat ini dan menjadikan peminat berpusu-pusu hadir menyaksikan Konsert U.K's Reunion 25 Tahun di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Sabtu dan Ahad lalu.

Seperti dijangka mereka sudah lama menunggu konsert U.K's berskala besar yang julung kalinya diadakan untuk melepas gian menyanyi bersama Amir.

Sebaik persembahan dibuka dengan lagu hit Kau Satu-Satunya, Panggung Sari sudah gamat dengan suara penonton yang turut sama menyanyi dengan Amir. Disusuli selepas itu dengan medley Kembali Mencari, Membara dan Berkat Kasihmu.

Lontaran vokal Amir juga masih bertenaga menyanyikan lagu bernada tinggi dengan iringan muzik Denil (gitar), Olley (bass), Amirul (dram) dan pemain gitar undangan, Mus Satira.

Turut memeriahkan persembahan ialah Rafi (gitar), Firdaus (pengarah muzik dan keyboard) serta duo Mohram iaitu Mohar (seruling) dan Ramli (perkusi) serta tiga penyanyi latar.

Lagu lain yang dinyanyikan iaitu Di Luar Kemampuanku, Rondo Cinta Buta, Cintaku, Berkat Kasihmu dan Rhythm Si Jantung Hati terus memancing keterujaan peminat untuk menyanyi bersama Amir.

AMIR bersama pemain gitar, Denil.
AMIR bersama pemain gitar, Denil.

PENONTON memenuhi ruang dalam Panggung Sari.
PENONTON memenuhi ruang dalam Panggung Sari.

Panggung Sari terus gegak-gempita sebaik Amir tampil menyanyikan seleksi lagu patah hati yang berhantu iaitu Kekasihku Di Menara dan Pahit Akan Manis Akhirnya dan seterusnya disusuli medley Untuk Apa dan Balada Ani.

"Lagu-lagu U.K's tangkap dalam, makan dalam. Ramai yang bercinta, putus cinta atau berkahwin sebab lagu-lagu kami. Membuktikan lagu kami kekal sepanjang zaman," kata Amir kepada penonton.

Mengambil kesempatan berehat seketika, penonton disajikan video individu di sebalik tabir kejayaan

U.K's iaitu bekas Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar, penulis lirik Dr Azam Dungun, bekas Pegawai Perhubungan Awam BMG Music, Hamid Samion dan komposer Lan Laga yang bercerita pengalaman bersama mereka.

Persembahan diteruskan selepas itu dengan lagu Seksa, Sesak dan medley Kekasihku, Sebak, Gema Kasih Sepanjang Usia dan Kita Sama Sahaja berduet dengan Saari Amri.

Lagu lain yang dinyanyikan ialah Terasa, Tergamak Kau, Bila Diri Disayangi, Nafas Orang Kota dan Prosarasa.

Amir turut menyanyi secara 'half falseto' menerusi lagu Satu Lilin Sehening Malam, Sudah Tiada Tunasnya dan Kita Akan Dijemput sambil diiringi Birgitta Claire Abeysekra yang bermain piano.

Lagu Siapa Yang Rampas Cintamu mengisi pentas selepas itu. Keterujaan peminat untuk menikmati lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu akhirnya tiba apabila Amir menyanyikan lagu ini yang turut diiringi mereka serta lagu Benar-Benar Sungguh-Sungguh sebagai bonus.

Sekalung penghargaan buat pengarah konsert, Syamsul Cairel dan penganjur Mac Training Centre Sdn Bhd serta RCD Concepts Sdn atas kejayaan konsert ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:49 AM