BERAKSI buat julung kalinya di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas 8 Jun depan.
BERAKSI buat julung kalinya di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas 8 Jun depan.
Ramlah Zainal


Selepas lebih tiga dekad dalam bidang muzik, kumpulan Slam diberi kepercayaan untuk beraksi buat julung kalinya di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 8 Jun depan.

Penyanyinya, Zamani Ibrahim, 52, berkata, peluang untuk beraksi dalam konsert skala besar di DFP adalah penghargaan dalam sejarah karier muzik mereka.

Katanya, pihaknya juga terharu dan pada masa sama teruja untuk beraksi di pentas berprestij berkenaan.

"Bila pihak DFP beri kepercayaan untuk Slam beraksi di pentas berprestij ini, maksudnya mereka menerima konsep muzik yang dibawakan," katanya.

Selain Zamani, Slam turut dianggotai Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Liliv(bass).

Mengulas dakwaan band kampung atau 'leman' pula, kata Zamani, mereka tidak berkecil hati mahupun berasa rendah diri dengan tanggapan segelintir pihak terhadap kumpulan itu.

Katanya, konsep muzik yang mereka bawakan memang begitu sejak dulu.

"Alhamdulillah, kami okay saja sebab lagu- lagu yang kami bawa memang begitu dan tak salah kalau mereka menganggap kami band kampung dan sebagainya.

"Kami juga bangga dengan konsep muzik yang kami bawakan kerana peminat boleh terima lagu-lagu kami sampai sekarang," katanya.

ZAMANI jaga kesihatan dan stamina.
ZAMANI jaga kesihatan dan stamina.

Berkongsi perkembangan kesihatannya, Zamani berkata, setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, dia juga sudah menjayakan dua konsert selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang sebelum ini dan ia berjalan lancar.

"Alhamdulillah, kesihatan saya baik setakat ini dan saya harap semuanya okay pada malam konsert nanti.

"Namun, saya akui keadaan kesihatan tidaklah berada pada tahap 100 peratus baik tapi bolehlah," katanya.

Ditanya sama ada Slam ada menyediakan plan B jika sesuatu terjadi, Zamani tetap yakin semuanya akan berjalan lancar kelak.

Katanya, mereka juga akan bersiap sedia sekiranya ada sesuatu berlaku ketika latihan yang boleh beri kesan pada persembahan nanti.

"Setakat ini, semuanya okay sahaja kerana saya juga menyanyi setiap hari jika tidak susah nak cari momentum itu semula.

"Stamina perlu ada tapi kalau dibantu dengan aspek teknikal yang baik, insya-Allah semua boleh," katanya.

Sementara itu, Shah berkata, anggota Slam yang lain juga tidak pernah mempersoalkan kebolehan Zamani dalam persembahan.

Katanya, dia yakin Zamani akan mampu beraksi dengan baik dalam persembahan di DFP selama satu jam 30 minit nanti.

"Kami percaya Zamani pandai menjaga kesihatannya sebab buat konsert memang memerlukan tenaga yang cukup. Kami juga pastikan Zamani cukup rehat selang beberapa minggu ketika sesi latihan sebelum ini," katanya.

Shah berkata, dia melihat persembahan Zamani lebih baik dari kebanyakan penyanyi lain sebab dia mampu menyanyi dua jam setengah tanpa henti.

"Orang luar hanya nampak Zamani kurang sihat, jadi orang persoalkan kredibilitinya. Sedangkan, mereka terlepas pandang dalam konsert selama tiga jam, baru-baru ini, Zamani okay sahaja.

"Jadi kami berharap ketika persembahan di DFP nanti semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Shah berkata, dalam konsert itu nanti Slam akan menyampaikan sebanyak 16 lagu di mana separuh darinya tidak pernah dipersembahkan sebelum ini seperti Suratan, Warna Kehidupan, Malam & Semalam, Rahsia Alam dan sebagainya.

"Selain itu, pastinya kami akan sampaikan lagu hits Slam seperti Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling, Jika Kau Rasa Getarnya dan Kembali Terjalin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:35 AM