PASANGAN ini lebih selesa menumpukan perhatian pada bidang perniagaan.
PASANGAN ini lebih selesa menumpukan perhatian pada bidang perniagaan.
Ridzuan Abdul Rahman


Populariti yang ada pada mereka dalam bidang seni, ditukar kepada peluang perniagaan. Itulah yang dilakukan pasangan selebriti Nadiyah Shahab dan suaminya, Ben Ali yang kini sukses dengan perniagaan sendiri.

Mereka kini lebih selesa menumpukan perhatian pada perniagaan sementara bidang lakonan menjadi pilihan kedua.

Nadiya berkata, dia masih mendapat tawaran berlakon, namun perlu memilih kerana mahu membahagikan waktu antara perniagaan bersama suami dan minat terhadap seni.

"Saya akui tawaran berlakon memang ada, tapi dalam masa sama saya agak sibuk dalam perniagaan. Jadi saya kena bijak memilih yang mana perlu didahulukan.

"Berlakon sememangnya minat saya, tapi kalau asyik fikirkan dunia lakonan, saya terpaksa abaikan perniagaan pula," katanya.

Sementara itu, Ben pula sudah lama meninggalkan lakonan untuk fokus sepenuhnya pada perniagaan.

"Saya sudah tak berminat untuk berlakon. Melainkan ada kerja belakang tabir yang kena pada tempatnya serta sesuai, saya mungkin berminat dan pertimbangkannya," katanya.

Pasangan terbabit kini melangkah setapak lagi apabila menceburi syarikat pengurusan artis.

Menurut Ben, mereka bekerjasama dengan MyEvents International menganjurkan festival raya terbesar iaitu Absolute Bazaar dan Gaya Raya yang bakal berlangsung selama empat hari pada Ramadan ini.

"Absolut Bazaar X Gaya Raya bakal berlangsung pada 22 hingga 25 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan ia adalah festival raya terbesar pasca pandemik Covid-19.

"Festival berlangsung tanpa henti selama 66 jam. Ini adalah masa untuk kita semua bermula semula selepas terkurung akibat virus Covid-19 sejak dua tahun lalu.

"Kami akan tampilkan lebih 500 'vendor' dalam festival ini. Sebagai penganjur, kami akan memastikan semua yang terbabit dan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya.

Menurutnya lagi, mereka turut menyediakan dua dewan pempamer yang mampu memuatkan 5,000 pengunjung dalam satu masa dan satu dewan tambahan akan dibuka jika berlaku kesesakan.

BEN dan Nadiyah bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents International, Hema Kandy pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini.
BEN dan Nadiyah bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyEvents International, Hema Kandy pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini.

"Tarikan utama tentunya harga mesra pandemik yang diperkenalkan bermula serendah RM2,800 bagi satu lot tapak berniaga selama empat hari festival itu berlangsung," katanya.

Ramai artis terkemuka bakal memeriahkan festival itu dengan membuka gerai jualan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fatah Amin, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose, Raysha Rizrose, Mira Filzah, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.

Turut serta ialah Neelofa, Haris Ismail, Emma Maembong, Zizan Razak, Syatilla Melvin, Saharul Ridzuan, Shukri Yahaya, Rozita Che Wan, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Intan Najuwa, Aedy Ashraf dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 6:07 AM