BEN dan isteri di hadapan kilang mereka.
BEN dan isteri di hadapan kilang mereka.
Sudirman Mohd Tahir


SIAPA menjangka hanya bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras dan kini perniagaan diusahakan, Absolut Chocolat mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang.

Selain

menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, kilang berkeluasan 14,000 kaki persegi itu turut memayungi dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management.

Menurut bekas pelakon, Ben Ali yang juga pengarah urusan syarikat berkenaan, bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang di samping isteri tercinta yang juga pelakon, Nadiyah Shahab.

"Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri. Kami berdua melalui suka duka, turun naik dalam kehidupan dan perniagaan dibina. Tapi semua itu menjadi kenangan dan pengalaman berharga.

"Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situ kami membungkus kek dalam kotak beserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun rezeki tak pernah salah alamat.

"Pendek kata pelbagai kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalnya pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan," katanya.

Berkongsi mengenai memori itu, menurut Ben, 30, atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, selepas beberapa minggu 'menumpang' di pondok itu, mereka kemudian berpindah ke khemah menjual air kelapa juga di Cheras.

"Selepas dua hingga tiga minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras. Dalam 2018, kami kerap berpindah-randah. Kemudian kami bertukar ke Medan Connaught Cheras hujung tahun sama. Kami menyewa pula satu lot premis yang dibahagi dua bahagian.

"Bahagian depan dijadikan pejabat, manakala belakang pula tempat pembungkusan kek dan penghantaran. Apabila perniagaan semakin berkembang kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja," katanya.

Menurut Ben, dia bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan F&B (Food and Beverages) dan dalam talian itu masih 'bernafas' ketika pandemik Covid-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

"Kami hantar ke rumah dan pelanggan hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan. Macam harga kek kami dengan pelbagai perisa juga kekal dengan harga mampu milik.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu kami menambah lagi tiga lot kedai. Ia menjadikan semuanya kini lima lot di Medan Connaught. Kami akan meneruskan operasi di lot sedia ada buat sementara waktu. Kilang ketika ini hanya menempatkan bahagian pengurusan.

"Dengan izin Allah, kami juga dapat membeli van pertama pada 2019 dan baru-baru ini kami membeli lori pula," katanya

Ben berharap tahun ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya

"Banyak lagi yang ingin kami kecapi. Cita-cita kami sendiri mahu membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa.

"Kami takkan berada di seni tanpa sokongan pelanggan tersayang. Terima kasih kerana terus setia menyokong kami hingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:32 AM