PESERTA Bintang RTM 2024 bersaing sengit.
PESERTA Bintang RTM 2024 bersaing sengit.
Najiy Jefri


Konsert minggu pertama program Bintang RTM 2024 mendapat sambutan luar biasa penonton yang hadir untuk menyaksikan siaran langsung yang diadakan di Angkasapuri Seri Angkasa, Kota Media, Kuala Lumpur.

Rata-rata penonton dan penyokong memenuhi ruang legar Kota Media seawal 8 malam Sabtu lalu untuk menyaksikan persembahan peserta kegemaran mereka.

Siapa sangka, semua 14 bintang yang dipilih melalui sesi uji bakat dijalankan di seluruh Malaysia tahun lalu berjaya mempamerkan persembahan memukau.

Malah, setiap peserta dilihat mempunyai aura dan kekuatan tersendiri, sekali gus menyaksikan tiada penyingkiran dilakukan pada konsert minggu pertama.

Menurut penerbit Bintang RTM 2024, Yang Faziatun Zainal Abedin, pihak produksi bersepakat untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran kerana ingin memperkenalkan bakat setiap peserta.

"Rasanya masih terlalu awal untuk terus membuat episod penyingkiran kerana kita nak lihat apa kelebihan dan keunikan yang boleh diberikan setiap peserta.

"Lagipun kebiasaannya konsert minggu pertama ini adalah untuk memperkenalkan bakat hebat yang dicungkil daripada uji bakat yang dijalankan seluruh Malaysia.

"Kami amat berpuas hati dengan persembahan setiap peserta. Kalau kita lihat maklum balas di media sosial ketika program itu berlangsung pun, rata-rata memberikan komen positif terhadap persembahan peserta," katanya.

Tambah Yang Faziatun, setiap peserta diberi kebebasan untuk memilih lagu yang bakal dipersembahkan sekiranya peserta itu berjaya 'lolos' ke peringkat seterusnya.

"Kelainan pada edisi kali ini adalah setiap peserta Bintang RTM 2024 diberi kebebasan memilih lagu mereka sendiri.

"Kebebasan yang diberikan pihak produksi ini antara lain bagi memberi peluang kepada setiap peserta mencipta ruang terbaik untuk mereka menguasai pentas ini dengan sebaiknya," katanya.

Konsert minggu pertama Bintang RTM 2024 menyaksikan peserta Roxy Ixzy meraih kedudukan pertama dengan markah sebanyak 86.3 peratus, diikuti Feka (80.7), Akmar (78.7), Scha Nuril (78.7), Jon (78.7), Rezza (78), Dhania (77), Zizi Safira (75.3) dan Haris (75).

Sementara itu, Azumi pula berada di kedudukan ke-10 dengan 74 peratus, diikuti Joy (72.7), Eylia (72.7), Noy (67.3) dan Hadi Huv (60.3).

Roxy juga dipilih sebagai peserta terbaik pilihan juri jemputan yang diumumkan Ernie Zakri.

Setiap peserta diadili sepenuhnya oleh barisan juri tetap terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat dan Raja Sham.

Bintang RTM 2024 yang bersiaran selama tujuh minggu disiarkan secara langsung di TV2 setiap Sabtu jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 6:20 AM