YANG Faziatun.
YANG Faziatun.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-65, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan Konsert Merdeka 65 secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri bagi menunggu detik 12 malam. 

Konsert yang bermula tepat jam 11 malam itu bakal menyaksikan persembahan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Francisca Peter, Shila Amzah, Bunkface, Tomok, Aisha Retno, Lia Aziz, Daniel Sher, Luca Sicta serta Kmy Kmo. 

Penerbitnya Yang Faziatun Zainal Abedin berkata, Konsert Merdeka 65 bakal diraikan penuh meriah selepas dua tahun tidak dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19. 

"Selama dua tahun RTM tidak dapat mengadakan konsert bagi meraikan hari penuh bersejarah buat negara. Jadi tahun ini RTM kembali membawakan persembahan daripada artis terkenal tanah air pada malam ambang Merdeka.

"Kami berharap penganjuran konsert ini dapat menyemai rasa cinta dan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,"katanya. 

Menurut Yang Faziatun, Konsert Merdeka 65 bakal menyaksikan persembahan artis lama dan baharu dengan  membawakan lagu patriotik dan single hits mereka. 

"Memandangkan konsert ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai yang akan bersama-sama menunggu detik bersejarah pada malam ini, jadi kami himpunkan artis lama dan baharu bagi memberi lebih warna pada konsert ini. 

"Malah penonton juga bakal disajikan dengan persembahan bertenaga melalui lagu-lagu hits yang dibawakan barisan penyanyi selain lagu patriotik seperti Setia, Tanah Pusaka, Standing In The Eyes Of The World dan banyak lagi. 

"Bukan hanya itu kami juga bakal mengadakan sesi panggilan video dengan dua bintang terkenal yang terdiri daripada seorang pelakon yang kini berpangkalan di luar negara serta atlit negara yang baru mengharumkan nama Malaysia dalam Sukan Komanwel baru-baru ini," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:45 PM