Akmal Adli dan Uqasha Senrose
Akmal Adli dan Uqasha Senrose
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Uqasha Senrose terkilan dengan sikap segelintir netizen yang sebelum ini pernah mendakwa dia dan adik-beradiknya sukar untuk mendapat zuriat.

Uqasha berkata, dia hairan kenapa orang luar begitu sibuk dengan perancangan zuriat keluarga mereka. 

"Kalau nak ikutkan kami semua baru beberapa tahun berkahwin. Saya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose baru beberapa tahun melayari bahtera rumah tangga.

"Saya tak faham kenapa orang luar begitu sibuk dengan kehidupan peribadi kami. Mestilah masing-masing ada perancangan.

"Saya sendiri pun apabila dapat tahu sedang hamil, saya tidak terus hebahkan kepada orang luar sebab tak nak stres.

"Bagi saya, soal jodoh, ajal, maut dan rezeki ini pada Allah yang sudah aturkan apa terbaik untuk kita semua," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Uqasha, keputusan untuk memberitahu dia kini hamil anak pertama juga bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ingin menjawab segala pertanyaan pengikutnya di media sosial 

"Sebelum ini boleh dikatakan setiap hari orang tanya adakah saya sedang hamil, tapi saya diam saja.

"Cuma pada fasa sekarang saya bersedia untuk kongsikan berita ini supaya orang dah tak tanya lagi.

"Ramai yang tanya kebersediaan saya untuk bergelar ibu tak lama lagi, tapi saya tiada jawapan untuk soalan itu," katanya.

Ahad lalu Uqasha mendedahkan dia kini sedang sarat hamil anak pertama dan dijangka bersalin pada tahun ini.

Untuk rekod, Uqasha dan Kamal Adli mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Uqasha sebelum ini mendedahkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali.

Kali pertama keguguran ketika mengerjakan ibadah umrah selepas beberapa bulan berkahwin dan kali kedua sekitar bulan November 2022.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 7:55 AM