Akmal adli dan Uqasha Senrose
Akmal adli dan Uqasha Senrose
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon jelita Uqasha Senrose akhirnya mengesahkan dirinya kini hamil hasil perkongsian hidup dengan pelakon, Kamal Adli.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, berkata, rezeki zuriat antara yang paling besar buatnya dan suami.

"Syukur Ya Allah. Alhamdulillah rezeki manusia berbeza-beza dan ini antara rezeki yang paling besar untuk saya. 

"Nervous (gementar) dari nak jadi isteri dan sekarang gementar untuk jadi ibu pula," tulisnya.

Dalam perkongsiannya lagi, Uqasha juga meminta semua orang mendoakan yang baik-baik untuk dirinya dan bayi dalam kandungannya itu.

"Ramai tanya kenapa saya tak jawab sebab dah gugur, (kandungan sebelum ini), jadi saya takut dan biarlah saya sendiri yang cakap. 

"Doakan yang baik-baik untuk saya dan bayi. Amin. Terima Kasih banyak kepada yang doakan,"tulisnya lagi.

Pada masa sama, kata Uqasha lagi, dia sedih apabila ada pihak yang mendakwa ahli keluarganya semua tidak dikurniakan zuriat sebelum ini.

"Jujur, saya sedih bila orang cakap kenapa family (keluarga) Senrose semua tak ada zuriat.

"Bila dapat tahu ini (mengandung), saya bahagia sangat sebab aturan Allah yang maha mengetahui. Jodoh, ajal, maut dan rezeki semua dari-Nya," kongsinya lagi.

Perkongsian Uqasha turut mendapat maklum balas positif dari rakan artis dan pengikutnya di Instagram.

Antara rakan artis yang mendoakan dan menitipkan ucapan tahniah buat Uqasha dan Kamal ialah pelakon Fazura, Mira Filzah, Siti Saleha, Nad Zainal, Daiyan Trisha dan ramai lagi.

Terdahulu, pelakon yang popular dalam drama Perempuan Tanpa Dosa itu didakwa hamil apabila ada yang ternampak bentuk 'baby bump' dalam beberapa video siaran langsung di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Namun, Uqasha hanya membiarkan netizen terus berteka-teki dan neminta semua orang mendoakan yang baik-baik buatnya.

Sebelum ini, Uqasha juga pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali iaitu ketika menunaikan umrah pada awal 2022 dan sekitar November pada tahun sama.

Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal, 37, pada 5 November 2021 di Bentong, Pahang. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 7:32 PM