UQASHA Senrose ketika di Majlis resepsi pasangan Amylea Azizan bersama suaminya di dewan khawin Bizmillah Usj. FOTO Hazreen Mohamad
UQASHA Senrose ketika di Majlis resepsi pasangan Amylea Azizan bersama suaminya di dewan khawin Bizmillah Usj. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Subang Jaya: Pelakon, Uqasha Senrose mengakui dia terpaksa berdikari dan menjaga keselamatan diri serta kandungannya kerana berjauhan dengan suami, pelakon Kamal Adli, 37, sepanjang tempoh mengandung.

Menurut Uqasha, 31,  Kamal juga berasa bimbang untuk meninggalkannya sendirian, tetapi semua itu terpaksa dilakukan kerana terikat dengan komitmen penggambaran di beberapa negeri ketika ini.

"Sepanjang tempoh kehamilan ini, Kamal juga terbabit dengan penggambaran di luar daerah dan pada masa sama, saya juga ada penggambaran drama Jangan Lupa Janji.

"Sebagai suami, Kamal memang berasa risau dengan keadaan saya yang mengandung dan meminta mama serta kakak untuk menemani, namun kami tetap berhubung setiap hari.

"Ada juga kakak saya datang menemani di rumah apabila dia ada kelapangan masa," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis persandingan penyanyi dan komposer Amylea Azizan dan suami di sini, malam tadi.

Ditanya juga usia kandungannya sekarang, Uqasha yang pernah mengalami keguguran tetap dengan pendirian untuk merahsiakannya buat masa ini.

"Saya dan Kamal sepakat untuk tidak mahu mengetahui jantina bayi kami sehingga tempoh melahirkan kelak.

"Kami juga akan umumkan jantina bayi dalam satu majlis khas dan doa selamat nanti," katanya.

Berkongsi perasaannya untuk melahirkan anak, kata Uqasha, dia berasa gementar menantikan detik berkenaan.

"Saya bersyukur kerana tiada sebarang alahan sepanjang tempoh mengandung, tetapi saya gementar untuk melahirkan anak kerana tiada pengalaman sebelum ini.

"Kalau boleh saya juga mahu bersalin secara normal nanti," katanya.

Sementara itu, Uqasha berkata, dia juga merancang untuk berehat seketika dari aktiviti seni selepas bersalin nanti.

"Selepas selesai tempoh berpantang, saya akan kembali bekerja dan fokus pada bisnes.

"Saya juga baru dapat tawaran untuk menjadi duta produk bayi,"  katanya.

Terdahulu, pelakon yang popular dalam drama Perempuan Tanpa Dosa itu mengesahkan dirinya kini hamil hasil perkongsian hidup dengan Kamal Adli.

Sebelum ini, Uqasha juga pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali iaitu ketika menunaikan umrah pada awal 2022 dan sekitar November pada tahun sama.

Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Bentong, Pahang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 12:01 PM