KAMAL Adli bersama isterinya, Uqasha Senrose. FOTO Arkib NSTP
KAMAL Adli bersama isterinya, Uqasha Senrose. FOTO Arkib NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon, Kamal Adli kecewa dengan sikap segelintir netizen di media sosial yang menyindir isterinya, Uqasha Senrose mengenai zuriat.

Kamal berkata, dia pelik dengan sikap mereka di media sosial yang dilihat semakin lama semakin pelik.

"Komen yang dilontarkan kadang-kadang tak tercapai dek akal. Tak tahu apa motifnya. Ia sudah makin teruk dan tidak terkawal.

"Jika benar hendak meluahkan kata-kata sebegitu, jumpa dan katakan sendiri dengan saya. Bukan hanya berani di ruangan komen saja. Pasti tiada individu yang suka apabila isteri diperlakukan sebegitu.

"Siapa yang tidak mahu dikurniakan zuriat? Apatah lagi kami berdua juga semakin meningkat usia. Namun, semuanya adalah kuasa Allah dan kita serahkan kepadanya," katanya.

Uqasha sebelum ini meluahkan rasa sedih apabila ada segelintir netizen mempersoalkan kenapa belum memiliki anak selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Kamal berkata, dia turut menasihati Uqasha jangan ambil peduli dengan kata-kata negatif itu.

Katanya, netizen juga perlu lebih berhati-hati meninggalkan komen supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

"Saya minta Uqasha supaya jangan ambil kisah mulut orang sebab mereka tidak tahu cerita sebenar. Mereka hanya tahu menghakimi tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain.

"Semua itu kerja Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu usaha saja. Uqasha pun pernah keguguran sebelum ini akibat terlalu banyak bekerja.

"Kami sentiasa ikhtiar. Bukannya isteri saya tidak pernah hamil sebelum ini. Tak perlu nak beritahu orang kami sedang berusaha," katanya yang berkahwin dengan Uqasha pada 5 November 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:24 PM