Jumal bersama anaknya
Jumal bersama anaknya
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya sebenarnya mesej seorang kawan baik beritahu, aku kering (tiada wang) hari ini. Kasihan anak aku tertidur kelaparan. Tak tahu nak makan apa.

"Duit ada menerusi bayaran kerja-kerja seni tapi masih tersangkut. Bukannya teruk terduduk sangat. Rupanya dia hantar kepada semua kawan-kawan hingga jadi tular."

Demikian kata pelakon Jumal Yunus, 60, berkenaan kehidupannya yang kini berdepan masalah keputusan wang akibat penyakit kaki membengkak.

Jumal yang juga pengarah, penulis skrip dan pengurus produksi berkata, perkara ini adalah salah faham dan dia mengharapkan agar rakan-rakan industri tidak melihat kehidupannya terlalu menderita.

"Saya hanya nak pinjam sekejap dari dia tapi dihantar mesej itu kepada semua. Memang sedih tapi ada juga hikmahnya kerana ramai kawan-kawan menelefon.

"Ada yang bantu dari segi kewangan kerana saya pun banyak bantu kawan-kawan lain masa sihat dulu. Jadi mereka tak boleh dengar saya susah," katanya.

Bercerita lanjut, Jumal berkata, kaki kanannya mula bengkak sejak tiga bulan lalu dan dia sudah mendapatkan rawatan di lima klinik dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) serta Hospital Kajang.

"HCTM kata ada darah beku dan bagi ubat tapi tak sembuh juga. Manakala Hospital Kajang kata ada jangkitan kuman dan bagi antibiotik tapi tak susut juga.

"Saya pun dah buat X-Ray kat hospital beberapa kali serta ambil darah, namun keputusannya tiada apa-apa penyakit. Tiada masalah di kaki.

"Saya ada juga mencuba rawatan Islam dan ada yang kata kena itu, ini tapi tak tahulah apa sebenarnya. Dah usaha tapi masih juga macam ini," katanya.

Jumal yang tinggal bersama anaknya, Ali Fardeen, 7, bercadang mahu menjual rumahnya di Cheras dengan harga RM850,000 termasuk barang-barang.

"Tapi bukan senang orang nak beli. Nasib baik masa sihat saya beringat beli rumah. Ada yang minat nak beli tapi pinjaman bank susah.

"Kalau boleh saya nak balik kampung di Sabah. Saya boleh berjalan sikit-sikit tapi kalau nak bekerja susah juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:30 PM