KHAI rindukan kenangan bersama arwah ibunya.
KHAI rindukan kenangan bersama arwah ibunya.
Syafil Syazwan Jefri


"BERBEZA." Itu jawapan ringkas penyanyi, Khai Bahar saat ditanya mengenai sambutan Ramadannya pada tahun ini.

Perbezaan itu nyata ketara selepas pemergian ibunya, Allahyarham Rosnah Mohamad yang kembali ke Rahmatullah pada 2 Januari lalu.

Khai, 30, cuba sebaik mungkin untuk menyibukkan diri pada Ramadan kali ini bagi mengelakkan dirinya dirundung kesedihan.

"Untuk kehidupan saya, Ramadan kali ini sangat berbeza. Kalau tahun lalu, saya curi masa sehari dua dalam bulan Ramadan untuk pulang ke kampung dan berbuka dengan keluarga.

"Kali ini, saya cuba sibukkan diri untuk tidak terlalu banyak berfikir dan bersedih selepas pemergian arwah mak. Saya takut saya terlalu bersedih," katanya.

Ditanya mengenai kenangan manis yang tidak dapat dilupakan mengenai ibunya setiap kali Ramadan menjelma, Khai berkata, ibunya suka melihat halaman rumah mereka dihiasi dengan pelita.

"Kenangan bersama mak yang paling saya tak boleh lupakan adalah, setiap tahun, dia akan minta untuk pasang pelita.

"Jadi, setiap tahun saya akan cari dan beli pelita. Mak suka dan seronok kalau waktu malam dapat tengok lampu pelita di halaman rumah.

"Persiapan Aidilfitri pun saya belum fikir lagi. Selalunya, mak adalah orang yang paling teruja dalam melakukan persiapan. Dialah yang akan rancang warna tema dan sebagainya.

"Jadi, walaupun tanpa mak tahun ini, saya nak balik untuk bersihkan rumah bagi cantik-cantik. Mungkin seminggu sebelum Aidilfitri," katanya.

Ditanya mengenai kenangan Ramadan saat zaman kanak-kanaknya, Khai yang berasal dari Perlis sentiasa akan mengimbau kenangan bersama rakan-rakan sekampungnya.

"Kalau kenangan zaman kanak-kanak pula, saya selalu terkenangkan kenangan dengan kawan-kawan sekampung. Waktu zaman sekolah rendah, kami selalu berkumpul di masjid.

"Tapi, bila orang masuk untuk menunaikan solat, kami makan makanan yang ada di meja yang disediakan. Itu antara kenangan yang tak dapat saya lupakan," katanya.

Terbaharu, Khai hadir dengan lagu Aidilfitri secara duet bersama Marsha Milan yang juga menjadi lagu tema sambutan Aidilfitri Media Prima Berhad berjudul Macam Dulu Dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:30 AM