Hasnol
Hasnol
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Laguku Untukmu, Hasnol, 54, sudah dibenarkan pulang ke rumah sejak Rabu lalu selepas dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. 

Hasnol atau nama sebenarnya Hasnol Hassan Ariff berkata, dia meminta izin untuk dibenarkan pulang kerana faktor situasi di wad. 

"Alhamdulillah. Bukanlah semakin sihat, tapi ada ketikanya demam berulang. Tapi, saya dah dibenarkan pulang pada Rabu lalu. 

"Saya minta untuk dibenarkan pulang kerana keadaan di wad, di mana, ada pesakit-pesakit yang mengalami batuk lebih kronik," katanya kepada Harian Metro. 

Ditanya sama ada sudah ada laporan mengenai penyakit yang dialaminya yang sebelum ini diandaikan sebagai Tuberculosis (TB) dan kanser, Hasnol berkata, sampel spesimen akan diambil pada temu janji seterusnya. 

"Sampel spesimen belum diambil lagi setakat ini. Jadi, Insya-Allah, prosedur itu akan dilakukan pada temu janji akan datang. 

"Kalau mengenai andaian jangkitan TB sebelum ini, memang ia negatif. Cumanya, pihak hospital masih mengenal pasti sama ada ia adalah sel kanser yang sudah mula aktif. Itu akan diperiksa nanti," katanya. 

Menurutnya lagi, dia akan kembali bekerja di syarikat penjualan kereta dan motorhome dan berharap agar kesihatannya kembali pulih. 

"Insya-Allah, saya perlu buat temu janji semula dengan pihak hospital untuk membuat pemeriksaan susulan berkaitan jangkitan kuman dalam paru-paru saya. 

"Insya-Allah, esok (Isnin), saya akan mula bekerja dan dengan harapan, sakit itu akan berkurangan," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 12:30 PM