Keadaan Daddy Rock ketika jalani rawatan di hospital
Keadaan Daddy Rock ketika jalani rawatan di hospital
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pelakon Shahrol Asikin Mohd Shariff atau Daddy Rock sekali lagi berdepan dugaan getir dalam hidupnya apabila doktor mengesahkan keadaan jantungnya semakin lemah dan membengkak.

Menurutnya, doktor menasihatkannya agar segera menjalani pembedahan memasukkan stent atau angiogram yang kemungkinan dibuat secara bypass dengan segera untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang lebih buruk. 

"Saya dikejarkan ke Hospital Selayang beberapa bulan lalu kerana tidak sihat. Apabila doktor beritahu keadaan jantung terkini, saya terkejut dan menangis kerana kos yang diperlukan untuk pembedahan sangat besar iaitu lebih RM15,000. 

"Saya buntu mana nak cari wang sebanyak itu. Dalam keadaan sekarang tawaran berlakon pun dah kurang berbanding dulu. Apa tidaknya, nak jalan sikit pun cepat penat. 

"Malah kadang-kadang orang yang jalan dengan saya pun bosan sebab kena tunggu saya ambil nafas semula. Tahun ini saja, dah beberapa kali saya keluar masuk hospital," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu, pelakon filem Jangan Pandang Belakang dan Bohsia serta beberapa drama antaranya Kisah Paling Gangster, Gerak Khas dan Kampung People pernah menjalani proses memasukkan stent pada 2021. 

Mereka yang ingin membantu meringankan beban Shahrol Asikin boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 114160699745. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:48 PM