Natasha Hudson
Natasha Hudson
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan model, Natasha Hudson memberitahu dia kini mengandung anak keempat dan usia kandungannya sudahpun memasuki trimester kedua.

Anak keempat ini menerusi perkahwinan kali kelima pelakon filem Chermin ini dengan Muhammad Harits Jasmin atau Jay Jasmin, setahun yang lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagram (IG), Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 41, berkata, dirinya memang seorang yang sangat aktif ketika mengandung ketiga-tiga anaknya sebelum ini.

"Jika anda tertanya-tanya, saya kembali 'surfing' dalam trimester kedua ini.

"Saya tidak fikir boleh keluarkan kekuatan ini dari dalam diri.

"Ibu mengandung perlu menyediakan diri mereka untuk menjadi kuat," tulisnya.

Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia itu, ia agak berbeza untuk 'surfing' dengan keadaan perutnya yang besar itu tetapi dia hanya mengambil mudah perkara itu.

"Saya meletakkan semua tekanan pada dada melebihi dari perut dan kadang-kadang kayuh dengan lutut. Ia sangat terapeutik dan menenangkan.

"Saya juga akan terus kekal aktif dan cergas bersama anak keempat dalam kandungan ini sehingga sampai saat melahirkan nanti," tulisnya.

Terdahulu, Natasha pernah mengeluarkan kenyataan dia mempunyai hasrat untuk menambah anak tetapi mahu menstabilkan kedudukan kewangan keluarga terlebih dahulu.

Untuk rekod, Natasha mendirikan rumah tangga bersama Jay Jasmin pada 28 Mac tahun lalu yang juga perkahwinan kali kelima itu dalam majlis secara sederhana di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki tiga anak perempuan iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 2:21 PM