Natasha bernikah dengan usahawan dari Kelantan. FOTO Ihsan Instagram
Natasha bernikah dengan usahawan dari Kelantan. FOTO Ihsan Instagram
Mohd Zulkifli Zainuddin

KOTA BHARU: Pelakon, Natasha Hudson sah melangsungkan pernikahan buat kali keempat dengan seorang usahawan dari negeri ini, Noor Nashriq Sekarnor, malam tadi.

Majlis secara sederhana yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat pasangan itu berlangsung di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini.

Berita itu dinyatakan adik pelakon berkenaan, Tania Hudson selepas memuat naik beberapa gambar bersama kakaknya di Instagram (IG) Story, selain ucapan tahniah.

"Kepada kakak saya yang cantik, saya akan sentiasa berada di sisi kamu tidak kira apa pun," tulisnya.

Usaha NSTP untuk menghubungi Natasha atau Natasha Liana Hudson 36, sejak tengah hari tadi belum membuahkan hasil apabila gagal dihubungi, selain tidak membalas mesej yang dihantar.

Akhbar pada Oktober lalu melaporkan bintang filem Chermin itu mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha juga pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan, sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 yang hanya bertahan selama dua tahun.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Neesa Helena.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 3:59 PM