GAMBAR dan kenyataan Tania di Instagram. FOTO Instagram Tania Hudson
GAMBAR dan kenyataan Tania di Instagram. FOTO Instagram Tania Hudson
Najiy Jefri


PELAKON Tania Hudson enggan mengulas mengenai majlis pernikahan kakaknya yang juga pelakon, Natasha Hudson, 36, di Kubang Kerian, Kelantan malam tadi.

Natasha dikatakan melangsungkan pernikahan buat kali keempat dengan seorang usahawan, Noor Nashriq Sekarnor di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Tania ketika dihubungi berkata, dia meminta supaya pertanyaan itu diajukan terus kepada Natasha.

“Maaf saya tidak mahu masuk campur. Sila tanya kepada kakak saya (Natasha) sendiri. Saya mohon anda menghormati saya dan keluarga,”katanya.

Tania turut memohon supaya orang luar tidak campur dengan urusan keluarganya.

“Seperti yang saya nyatakan di Instagram, saya harap orang luar tidak masuk campur. Maaf saya tidak boleh ulas lanjut. Saya sedang sibuk,”katanya.

Terdahulu, Tania ada memuat naik beberapa gambar bersama Natasha dan suaminya itu di Instagram Story, selain ucapan tahniah.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Natasha tidak berjaya apabila pelakon itu tidak menjawab panggilan dan mesej selain mematikan telefonnya.

Oktober lalu Harian Metro melaporkan pelakon filem Chermin ini mengakui sudah bercerai dengan bekas suami, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha juga pernah berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006, namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan, sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 yang hanya bertahan selama dua tahun.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Neesa Helena.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 7:17 PM