JOHAN (berdiri dari kiri), Wan Munadi, Rosyam, Arisz, Ellie dan Trisha bersama pelakon kanak-kanak pada majlis menandatangani MoU antara YGMB dan KAHSB.
JOHAN (berdiri dari kiri), Wan Munadi, Rosyam, Arisz, Ellie dan Trisha bersama pelakon kanak-kanak pada majlis menandatangani MoU antara YGMB dan KAHSB.
Ridzuan Abdul Rahman


Syarikat produksi Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) sekali lagi memilih pelakon popular, Datuk Rosyam Nor untuk membintangi filem mereka, Memoir Seorang Guru selepas kali pertama bekerjasama menerusi filem Duan Nago Bogho yang ditayangkan pada awal tahun ini.

Pengarah urusannya, Datuk Arisz Ab Rahman berkata, Rosyam dipilih berdasarkan kemampuannya melakonkan pelbagai watak.

"Filem ini diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Ia cerita seorang guru pencen yang mengimbas kembali kisahnya ketika dia jadi guru.

"Rosyam perlu bawa watak untuk dua zaman iaitu pada usia 40-an dan 60-an. Jadi, tidak syak lagi saya pilih dia untuk bawa watak utama sebagai Cikgu Sunan. Kredibiliti dan pengaruh dia tak perlu dipertikaikan lagi.

"Selain itu, populariti dan karisma yang ada padanya buatkan saya yakin bahawa dia yang paling sesuai bawa watak ini," katanya pada majlis Menandatangani Perjanjian Bersama (MoU) antara KAHSB dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Rosyam, filem arahan Kyoll Hamzah ini turut menampilkan lakonan Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa'ri, Syazwan Zulkifly, Trisha Ooi dan ramai lagi

Arisz berkata, pihaknya berminat menghasilkan filem yang dianggap ringan, tetapi mempunyai mesej besar kepada masyarakat.

"Semua penonton daripada golongan muda hingga tua pernah jadi pelajar. Filem ini memberi mesej mengenai pendidikan di Malaysia. Ia sesuai ditonton semua golongan masyarakat khususnya yang pernah bergelar pelajar iaitu kita semua.

ROSYAM bawa watak sama, tapi berbeza usia iaitu 40-an dan 60-an dalam filem Memoir Seorang Guru.
ROSYAM bawa watak sama, tapi berbeza usia iaitu 40-an dan 60-an dalam filem Memoir Seorang Guru.

"Saya terdetik untuk menerbitkan filem berdasarkan adaptasi novel kerana apabila saya terbaca banyak komen di media sosial, mereka yang membuat ulasan novel ini ramai meminta supaya dijadikan sebuah filem.

"Saya yakin bila penonton keluar pawagam, mereka akan fikir betapa besar jasa guru dan kita sebagai insan yang pernah bergelar anak murid perlu menghargai jasa mereka," katanya

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya yang berperanan membantu memartabatkan profesion keguruan negara, mengucapkan tahniah kepada KAHSB atas inisiatif menghasilkan filem bergenre yang lain daripada kebiasaan filem pecah panggung.

"YGMB melihat penerbitan filem ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif daripada pembikin filem dan kami menyokong usaha ini kerana menjadi peranan dan tanggungjawab YGMB membantu usaha yang mengangkat martabat profesion keguruan negara.

"YGMB berpendapat bahawa filem ini amat sesuai untuk ditonton semua lapisan masyarakat bagi melahirkan penghormatan dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan insan yang bergelar guru.

"Setiap seorang daripada kita tidak akan terlepas daripada hasil didikan seorang guru. Oleh itu, perancangan pihak penerbit untuk menayangkan filem ini ketika sambutan Hari Guru amat bertepatan.

"Saya percaya bahawa masyarakat khususnya ibu bapa, pelajar termasuk guru itu sendiri pastinya tidak melepaskan peluang menonton filem ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:49 AM