Aziz Satar & The Locos. Foto Aziah Azmee
Aziz Satar & The Locos. Foto Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan Alif Satar & The Locos berjaya melamar kumpulan nasyid Raihan pada saat-saat akhir untuk turut serta menjayakan Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 7 Januari depan.

Alif, 33, selaku vokalisnya berkata kumpulan itu pastinya mampu menarik lebih ramai penonton memandangkan mereka bukan nama calang-calang.

"Saya sukacitanya mengumumkan kumpulan nasyid Raihan akan turut serta. Dalam set sejam setengah nanti boleh bagi rasa berbeza. Akan ada slot khas yang lebih ke arah kepada peringatan.

"Abang-abang Raihan pun mempunyai pengikut tersendiri. Album yang kami rakam bersama The Sunnah The Better dapat sambutan sehingga kini. Saya yakin kehadiran pasti berganda kelak," katanya.

Berkongsi kisah mempelawa Raihan itu, Alif terfikir apa mereka mampu sumbangkan di kala dunia berduka dengan nasib malang penduduk di Gaza, Palestin.

"Memang tak dinafikan dengan apa yang berlaku sekarang ini dalam dunia, kami sebagai band pun rasa sangat terkesan. Mungkin kami boleh sumbang sesuatu dalam konsert ini.

"Fikir punya fikir, kurang dari sehari, kenapa tidak lakukan sesuatu memandangkan kami pun pernah bekerja dengan Raihan. Alhamdulillah, mereka pun setuju. Pada masa sama, kami masih berfikir cara lain untuk menyumbang kepada tujuan itu," katanya.

Alif juga berkata sebagai anak seni, mereka jadikan acara itu kelak sebagai medan untuk mengajak penontonnya menyumbang sesuatu bagi tujuan kemanusiaan.

"Apa yang kami buat ini pun ikhlas. Ini adalah kerjaya dan apa yang kami lakukan secara profesional. Kami cuba sesuaikan untuk ajak semua yang datang nanti, beli tiket dan sumbang kepada tujuan itu," katanya.

Selain Alif, The Locos dianggotai oleh Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Rajwan Juni (dram) dan Faliq Auri (saksofon).

Konsert anjuran Mutiara Optimum Sdn Bhd dan MND Sport & Event Sdn Bhd juga akan turut menampilkan bintang meningkat naik dari Indonesia, Anggi Marito.

Anggi cukup fenomena menerusi lagu Tak Segampang Itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 10:47 AM