ALIF semakin matang berkomunikasi dengan penonton. FOTO Asyraf Hamzah
ALIF semakin matang berkomunikasi dengan penonton. FOTO Asyraf Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


BANYAK perkara menarik yang berlegar dalam kehidupan penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar sekarang.

Menutup tirai 2023 iaitu pada 29 Disember, Alif, 34, terbabit dalam kemalangan motosikal di Hartamas, berdekatan Istana Negara, Kuala Lumpur tetapi tidak mengalami kecederaan serius.

Kejadian berlaku ketika Alif dalam perjalanan pulang dari solat Jumaat ke rumah keluarganya.

Pada 1 Januari lalu, artis serba boleh ini mencetuskan fenomena apabila kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan sebelum itu mendapat sambutan hangat disertai kira-kira 3,000 jemaah.

Aktiviti yang bermula dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara itu disusuli dengan acara larian beramai-ramai selepas itu.

Ia menjadi inspirasi kepada masjid-masjid lain yang menganjurkan kempen serupa di tempat mereka.

Pada 4 Januari pula, dia tampil menerusi filem Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang terus mencatat kutipan yang baik sehingga kini.

Namun sudah tentunya nyanyian, yang membawanya masuk ke bidang seni tidak dilupakan Alif.

Kemunculannya bersama The Locos menerusi Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito yang berlangsung di Zepp KL Ahad lalu, jelas membuktikan kematangan Alif.

Alif menjalankan tugasnya dengan sempurna apabila berjaya menghiburkan sekitar 2,000 peminat yang memenuhi Zepp pada malam itu.

Biarpun memberitahu keadaan kesihatannya kurang memuaskan dan tekak seakan berpasir, dia tampil menghiburkan demi peminat.

Keputusannya mengangkat kumpulan nasyid legenda, Raihan sehingga kembali menjadi sebutan dibibir peminat generasi kini wajar dipuji.

TETAP menghiburkan peminat walaupun mengalami masalah kesihatan. FOTO Asyraf Hamzah
TETAP menghiburkan peminat walaupun mengalami masalah kesihatan. FOTO Asyraf Hamzah

Ceritanya kepada penonton, bapa dan ibunya yang mengajar kanak-kanak pekak mahu menyambung pelajaran di United Kingdom dan membawa mereka tiga adik beradik bersama.

"Kami bawa dua album saja dan salah satu album yang dibawa ialah album Raihan. Dan berbelas-belas tahun berlalu, saya dipanggil untuk buat satu show di sebuah stesen tv swasta.

"Penerbit tanya saya nak duet dengan siapa? Saya dah biasa duet dengan orang-orang lain. Jadi saya cakap nak duet dengan kumpulan Raihan. Selepas itu orang tertanya-tanya kenapa Raihan? Ingatkan dengan orang lain.

"Selepas itu tercetuslah idea apabila jumpa, kami buat projek bersama. Kalau nak tahu abang-abang Raihan ini adalah 'the highest selling recording artist' di Malaysia. Jadi saya berbesar hati," katanya disambut tepukan bergemuruh penonton.

Tidak lupa Alif sekali lagi menyelitkan seruan agar peminatnya menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

MENGANGKAT kembali nama Raihan menerusi gandingan duet mereka. FOTO Asyraf Hamzah
MENGANGKAT kembali nama Raihan menerusi gandingan duet mereka. FOTO Asyraf Hamzah

"Dari Wangsa Maju ke, Damansara atau Mont Kiara, kat mana saja korang (kamu) berada, inilah masanya kalau korang (kamu) anak lelaki, bangun Subuh dekat masjid," katanya.

Lagu-lagu yang dinyanyikan pada konsert terbabit ialah Akhiri Penantianku, Cukup Indah, Nona Jakarta, I Want You To Love Me, Sesungguhnya Aku, Jangan Nakal, Anugerah Terindah dan Lelaki Seperti Aku.

Menerusi duet dengan Raihan, Alif menyanyikan lagu Puji-Pujian dan Syukur (medley), Iman Mutiara dan Sesungguhnya 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 7:01 AM