Nabila Razali
Nabila Razali
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Dua minggu bergelar isteri, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali masih berasa janggal apabila dia dipanggil dengan gelaran puan oleh sesiapa yang menemuinya.

Nabila, 31, ditemui berkata, situasi itu dihadapinya ketika hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, sehari selepas majlis resepsi perkahwinannya bagi membuat persembahan nyanyian pada majlis konvokesyen selaku alumni pusat pengajian tinggi itu.

"Bila saya dipanggil puan, pada mulanya saya agak terkejut dan terus tanya kembali kepada individu itu, kenapa panggil saya puan dan sepatutnya cik saja.

"Kemudian dia balas dengan mengatakan bukankah saya yang baru berkahwin itu. Jadi, baru tersedar memang saya dah pun berkahwin sekarang ini" katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali hadir pada pelancaran single terbaharunya, Hanya Kamu dan kolaborasi koleksi tudung bersama jenama Nada.

Penyanyi lagu Permata Hati dan Peluang Kedua itu mendedahkan kebanyakan peminatnya kini tidak lagi menegurnya dengan panggilan cumi-cumi sebagaimana selalu.

"Dulu ramai lelaki akan tegur saya dengan panggilan cumi-cumi serta gaya tangan juga.

"Tetapi, bila saya dah berkahwin, tiada lagi peminat yang tegur seperti itu. Mereka mungkin sudah berasa segan untuk menegur saya," katanya.

Dalam masa sama, Nabila juga memaklumkan dia belum berpeluang memasak hidangan istimewa iaitu sambal Jawa untuk suaminya, Nik Iruwan berikutan jadual kerja yang padat.

"Saya teringin nak masak sambal jawa untuk suami dan tidak sabar untuk menyediakannya kerana dia pun tidak memilih dan suka mencuba," katanya.

Pada 18 November lalu, Nabila sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan dikenali Nik Iruwan Nik Izani, 38, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah hotel di Pahang yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 4:09 PM