NABILA membuat persembahan pada pelancaran single terbaharu, Hanya Kamu.
NABILA membuat persembahan pada pelancaran single terbaharu, Hanya Kamu.
NABILA bersama rakan artis.
NABILA bersama rakan artis.
Norhayati Nordin


"KAMI bercinta lepas kahwin, masih malu-malu dan dalam proses saling mengenali lagi," itu kata penyanyi dan pelakon, Nabila Razali yang baru tiga minggu bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 38.

Nabila, 31, menyifatkan Nik Iruwan seorang suami yang begitu memahami dan terbuka memberikan sokongan kepadanya yang masih sibuk pelbagai aktiviti seni berikutan tuntutan kerja sudah dipersetujui.

"Alhamdulillah, suami saya faham kerana kami berdua sekarang sibuk dengan kerja masing-masing. Malah, ia sudah kami bincangkan sejak awal sebelum berkahwin dan syukur dia sedia memberikan sokongan.

"Macam berlakon suami memberi izin, tetapi saya kena tahu menjaga batas dalam lakonan. Manakala untuk nyanyian, suami sarankan saya masuk kelas nyanyian.

"Dia (Nik) selalu cakap, jika saya mahu jadi penyanyi yang bagus, kena perbaiki diri sendiri dan minta saya pergi kelas nyanyian sebanyak mungkin dan sentiasa bekerja keras," katanya.

Menurut penyanyi lagu Permata Hati dan Peluang Kedua ini, apa yang ditekankan suaminya supaya selalu pergi belajar menyanyi adalah persediaan terbaik pada masa akan datang untuk karier nyanyian.

Mengakui dia masih menerima kecaman netizen dalam persembahan nyanyian, pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi di TV3 ini berkata, sekarang dia berkongsi luahan perasaan sedih itu kepada suami.

"Apa pun saya tidak mahu menjadikan status isteri orang yang digalas kini sebagai satu alasan untuk tidak bekerja atau cuba kurangkan urusan pekerjaan kerana rumah tangga. Buat masa ini, saya masih boleh membahagikan masa dengan baik.

NABILA akui dapat sokongan padu suami dalam karier seni.
NABILA akui dapat sokongan padu suami dalam karier seni.

"Masa bersama suami dan keluarga tidak terganggu kerana semua jadual kerja sudah disusun dengan baik kerana mereka (keluarga) adalah keutamaan saya. Pada ketika ini, saya juga faham mana yang patut didahulukan.

"Malah, rezeki datang dalam pelbagai cara dan saya akur ketentuan Yang Esa kerana Dia adalah sebaik perancang. Mungkin saya akan kurang berlakon, tapi tawaran menyanyi pula banyak dan aktiviti lainnya," katanya.

Terdahulu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali hadir pada pelancaran single terbaharu, Hanya Kamu dan kolaborasi koleksi tudung bersama jenama Nada di ibu kota, baru-baru ini.

Pada 18 November lalu, Nabila sah bergelar isteri kepada Nik Iruwan dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah hotel di Pahang dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Berbicara juga mengenai masakan istimewa untuk suaminya, Nabila berkata, dia belum berpeluang memasak hidangan sambal Jawa untuk Nik Iruwan berikutan jadual kerja yang padat.

"Saya sebenarnya teringin sangat nak masak sambal Jawa untuk suami dan tidak sabar menyediakannya kerana dia pun seorang yang tidak memilih makanan dan suka mencuba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:20 AM