AINA Abdul
AINA Abdul
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selepas memiliki mikrofon yang ditempah khas dan mencecah harga puluhan ribu Ringgit, penyanyi Aina Abdul kini memiliki jurutera bunyi khas untuk menjaga mikrofon itu.

Aina berkatya, kehadiran jurutera bunyi yang dikenali sebagai abang Daus itu umpama 'nadi' buatnya setiap kali membuat persembahan.

"Dia adalah 'penjaga' yang akan menjaga mikrofon itu 24 jam dan dengan adanya abang Daus, dia dapat menjaga kualiti dan melindungi mikrofon itu dengan baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aina, Daus juga bertanggungjawab untuk menata bunyi setiap kali Aina tampil untuk membuat persembahan di mana-mana acara.

"Dia juga menjaga dan menata bunyi dalam setiap persembahan saya. Bukan saja menjaga mikrofon, abang Daus juga menjaga 'bunyi' suara saya setiap kali membuat persembahan," katanya.

Antara acara yang menampilkan Aina menggunakan mikrofon berwarna biru itu adalah di Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya dan terbaru di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34), Sabtu lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai Aina yang mengimpikan untuk memiliki mikrofon tempahan khas itu sejak 2019.

"Ini adalah mikrofon pertama yang saya beli. Kalau ikutkan, dari 2019 sudah sampaikan hajat dengan pembekal mikrofon, tapi baru tahun ini cukup duit untuk beli," katanya.

Aina bagaimanapun enggan mendedahkan harga sebenar mikrofon itu secara terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 2:41 PM