MARSHA Milan membuat persembahan pada malam AJL36. FOTO Aizuddin Saad
MARSHA Milan membuat persembahan pada malam AJL36. FOTO Aizuddin Saad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Jeritan penonton, tidak membantu (markah)."

Itu kata ketua juri di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Datuk Mokhzani Ismail ketika diminta mengulas mengenai vokal penyanyi, Marsha Milan yang tewas kepada Aina Abdul untuk kategori Vokal Terbaik, malam tadi.

Mokhzani berkata, markah antara dua penyanyi itu sangat rapat.

"Antara Aina dengan Marsha, perbezaan markah mereka sangat tipis. Tapi, kita (juri) menilai dari semua sudut nyanyian.

"Walaupun ramai penonton menjerit, tapi telinga kami lebih peka dengan teknik nyanyian. Terima kasih juga kepada Datuk Syafinaz Selamat yang banyak membantu dari sudut itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, teknik vokal perlu dilihat dengan secara meluas.

"Ia bukan sekadar melontar vokal, tapi lebih luas dari itu. Tidak syak lagi, hampir semua penyanyi sudah memberikan persembahan terbaik. Contohnya, Khai Bahar dan Aina, mereka adalah pasangan yang serasi. Harmoni mereka sangat sebati dan terasa di jiwa. Namun, apabila kita nilai dari semua sudut, untuk vokal terbaik ia berpihak kepada Aina dan sedikit lebihan markah daripada Marsha," katanya.

Aina yang menang kategori itu menerusi lagu Sepi ciptaannya sendiri berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 serta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 11:40 AM