Aina terjatuh ketika jayakan persembahan di Sungai Melaka
Aina terjatuh ketika jayakan persembahan di Sungai Melaka

Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul terjatuh ketika menjayakan persembahan pada malam pertama Konsert Magic of The Night, Sungai Melaka, malam tadi.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik, Aina terjatuh ketika turun tangga dan dibantu dengan segera oleh penari yang berada di atas pentas.

Aina berkata, meskipun pengalaman itu bukan satu insiden yang boleh dibanggakan namun akan membuatkan dia ketawa setiap kali teringatkannya.

"Alhamdulillah berjalan lancar semalam di hari pertama Magic of The Night, Sungai Melaka.

"Walaupun pengalaman jatuh di atas pentas itu bukan satu hal yang boleh dibanggakan tetapi ia satu perkara yang buat saya tergelak setiap kali saya fikirkannya. Ketawa yang baik, bukan ketawa sebab malu.

"Terima kasih kepada penari yang sambut saya dengan segera. Kalau tidak memang saya akan teruskan persembahan secara duduk atau tanpa kasut," katanya.

Menurut Aina, dia juga bersyukur apabila kedua-dua kakinya berada dalam keadaan baik selain berbangga dengan pasukan yang sudah menyiapkannya.

"Saya sangat bangga kepada setiap seorang yang menyiapkan persalinan dari atas kepala hingga kaki, mekap dan hijab.

"Ini adalah percubaan pertama saya mengenakan pakaian tradisional. Terima kasih juga buat peminat saya yang turun padang menyaksikan persembahan saya malam tadi dan hari ini. Saya sayang anda semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 1:16 PM