Nabila Razali kini isteri Nik Iruwan.
Nabila Razali kini isteri Nik Iruwan.
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Penyanyi Nabila Razali, 31, kini bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 38, dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan pada jam 10.11 pagi, hari ini.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali selamat dinikahkan oleh Jurunikah, Ustaz Fawwaz Zarin Che Lah dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di The Chateau Spa & Wellness Resort, Bukit Tinggi, Pahang.

Dalam majlis yang bertemakan 'English Garden' ini, Nabila menerima mas kahwin sebanyak RM22.50, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Berkongsi perasaan selepas bergelar isteri, Nabila meluahkan rasa syukur kerana majlis dirancang berjalan lancar.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi majlis pernikahan berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada tetamu dan ahli keluarga yang turut menjayakan majlis ini, dan tidak lupa kepada peminat di atas doa serta sokongan yang diberikan kepada Bella dan suami," katanya.

Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat, dan juga selebriti.

Turut hadir tetamu kenamaan dan rakan-rakan niaga pengantin.

Antara selebriti yang hadir ialah Hawa Rizwana, Amira Othman, Wany Hasrita, Ara Johari, Sissy Iman, Hael Husaini dan ramai lagi

Pasangan itu bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan taman yang berlangsung pada sebelah petang di tempat yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 10:57 AM