AZLEE Khairi bersyukur masih terima tawaran selepas 5 tahun menyepi.
AZLEE Khairi bersyukur masih terima tawaran selepas 5 tahun menyepi.
Najiy Jefri


SELEPAS lima tahun menyepikan diri, kini pelakon Azlee Khairi menarik nafas lega apabila kehadirannya masih mendapat perhatian positif daripada stesen TV dan penerbit tempatan.

Buktinya, pertaruhan drama pertama berjudul Seadanya Aku yang ditayangkan di TV3 sekitar awal tahun ini membantu menaikkan semula namanya serta dilihat memberi sinar harapan.

Kata Azlee, dia bersyukur apabila masih diberi kesempatan untuk melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan yang dicintainya.

"Saya anggap penerimaan baik daripada pelbagai pihak sebagai satu rezeki pemberian Ilahi. Memang diakui sesetengah pelakon yang sudah lama menyepi, kemudian masuk semula dunia lakonan akan mengambil masa untuk mencipta nama semula.

"Namun saya syukur dan bertuah apabila rezeki masih ada untuk terus berkongsi bakat seni yang miliki ini kepada penonton.

"Mungkin keputusan saya untuk berehat dulu ada hikmah di sebaliknya. Ramai juga yang tanya kenapa buat keputusan secara mengejut ketika itu, tapi bagi saya itu mungkin rezeki orang lain untuk naik," katanya.

Mengakui kehadirannya tidak lagi sama sewaktu namanya disinari populariti ketika membintangi drama Love You Mr. Arrogant bersama aktres Zara Zya pada 2013 lalu, Azlee bagaimanapun enggan berputus asa untuk menempatkan dirinya semula.

"Jika diikutkan usia kini sudah menjengah 31 tahun dan ia jauh berbeza dengan kelompok pelakon muda yang sedang mencipta nama pada hari ini.

"Namun ia tidak sedikitpun tidak mematahkan fokus lakonan saya. Insha-Allah saya akan cuba sedaya upaya untuk bersaing secara sihat dengan pelakon sedia ada. Bukan nak kejar jadi setanding tapi saya nak bagi apa yang termampu," katanya.

Tambah Azlee, dia juga sedar kemunculan semula dirinya turut menjadi perhatian 'mulut-mulut jahat' yang mempertikaikan sama ada namanya masih relevan untuk bersaing dalam industri hiburan ini. Namun, katanya segala kritikan itu dianggap sebagai asam garam dunia seni.

"Sebenarnya dari awal lagi saya mencipta nama sebagai pelakon, sudah ada skeptikal atau komen sebegini. Saya melihat itu adalah lumrah dan benda yang sinonim dalam industri.

"Sebagus mana kita cuba buat dan berikan yang terbaik, pasti akan ada anasir-anasir negatif. Tapi, semua itu saya jadikan pembakar semangat untuk bangkit dan terus berjaya.

"Tak pernah rasa tertekan, malah ia memberikan saya motivasi untuk jadi lebih baik dan cuba perbaiki diri dari masa ke semasa," katanya.

AZLEE Khairi dan Ezzaty Abdullah ketika penggambaran drama slot Akasia, Rahimah Tanpa Rahim di pusat membeli belah, Subang Parade.
AZLEE Khairi dan Ezzaty Abdullah ketika penggambaran drama slot Akasia, Rahimah Tanpa Rahim di pusat membeli belah, Subang Parade.

Drama Rahimah Tanpa Rahim

Kembali bekerjasama dengan pengarah Eoon Suhaimi selepas kali terakhir mencipta kejayaan bersama menerusi Love You Mr. Arrogant, Azlee berkata dia gembira apabila dapat bekerjasama dengan insan-insan hebat dalam industri seni menerusi drama bersiri Rahimah Tanpa Rahim.

Siapa sangka, drama terbitan Country Universal Sdn Bhd itu adalah naskhah keempat dibintanginya selepas kemunculan semula dalam bidang seni lakonan.

"Seronok dapat bekerjasama dengan pengarah yang pernah saya mencipta nama dulu. Kami mudah mencipta keserasian apabila saling faham segala kehendak dan apa yang kurang untuk diperbaiki.

"Malah sepanjang menjalani penggambaran pun, saya rasa seperti pendatang baharu. Tetap rasa diri ini kecil dan masih ada ruang untuk memperbaiki skil lakonan menjadi lebih baik.

"Menerusi drama ini juga, saya kali pertama bergandingan dengan Puteri Aishah. Satu pengalaman baharu, tapi menyeronokkan kerana semua pelakon dalam drama ini saling membantu di antara satu sama lain," katanya.

Tambah Azlee lagi, drama Rahimah Tanpa Rahim adalah sebuah karya yang berat dan sarat dengan pelbagai mesej dan kesedaran.

"Drama ini berbeza dengan naskhah lain yang pernah saya bintangi apabila bakal dijadikan novel selepas disiarkan di televisyen.

"Jika sebelum ini, kebanyakan drama tempatan di adaptasi daripada novel, Namun, kali ini berbeza. Penonton pasti tertunggu-tunggu jalan ceritanya dan saya tidak boleh main-main untuk bawakan karakter ini.

"Ini kerana penonton sekarang, mereka sangat bijak dalam mengkaji sesuatu isu atau watak yang digalas setiap pelakon. Saya harap drama ini akan diterima ramai," katanya memaklumkan karya Rahimah Tanpa Rahim bakal disiarkan di slot Akasia TV3.

Beralih mengenai percintaannya, Azlee berkata hubungan dengan ahli perniagaan yang juga pengasas kosmetik dikenali Aniss, 22, masih berjalan seperti biasa dan tiada apa yang dapat

dikongsikan lebih lanjut.

"Tiada apa yang menarik untuk saya kongsi perihal peribadi. Apapun, hubungan kami masih berjalan seperti biasa dan belum masa yang sesuai untuk fikir soal kahwin kerana masing-masing ada impian yang ingin dicapai terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 7:00 AM