FOTO ihsan IG
FOTO ihsan IG

Kuala Lumpur: Selepas menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang mendakwa dia memakai rantai berbentuk salib dalam satu hantaran video di TikTok, pelakon Haidar Hasanudin tampil menafikannya.

Haidar berkata, rantai terbabit sebenarnya tersimpul sekali gus menyebabkan ramai pihak yang keliru dan menyangka dia mengenakan rantai berbentuk salib.

"Saya mahu tegaskan di sini ia bukanlah rantai salib. Sebagai seorang yang beragama Islam saya tidak pernah terfikir langsung mahu mengenakan rantai berlambang salib.

"Sebenarnya, ia adalah cangkuk kepada 'pendant' rantai yang saya gayakan. Rantai itu tersimpul di bahagian cangkuk terbabit, jadi ia kelihatan agak mengelirukan dalam video," katanya.

Menurut pelakon drama bersiri popular Kampung People 3 itu lagi, dia memohon maaf atas perkara itu dan akan lebih berhati-hati selepas ini.

"Saya memohon maaf atas segala kekeliruan dan saya berharap penjelasan yang saya berikan dapat menjernihkan keadaan.

"Saya mengaku kekhilafan saya yang mungkin terlepas pandang dan saya sangat kesali perkara ini dan menjadikan ia sebagai pengajaran di masa akan datang," katanya.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video temu bual yang memaparkan Haidar mengenakan pakaian serba hitam pada satu majlis anugerah.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah netizen mendakwa rantai yang dipakai Haidar adalah berbentuk salib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 1:08 PM