RAKAM lagu ketika mengandung.
RAKAM lagu ketika mengandung.
Minda Ranggong


SELEPAS lebih setahun menjalani kehidupan sebagai isteri, malah bergelar ibu pada Julai lalu, Wany Hasrita kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Cinta Hatiku.

Menariknya single dan muzik video (MV) kali ini menampilkan 'buah hati' Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, iaitu Aishah Al Iman yang kini berusia hampir empat bulan dalam MV Cinta Hatiku.

Cinta Hatiku adalah single yang cukup istimewa buat Wany kerana lagu ini dihasilkan bagi meluahkan rasa syukur terhadap kehadiran anak dan suami dalam hidupnya.

"Sebenarnya saya meminta FMC Music merakamkan sebuah single mengenai cahaya mata di mana lagu berkenaan mengisahkan mengenai rasa kasih dan sayang seorang ibu pada kurniaan Ilahi.

"Saya sangat berterima kasih pada suami yang dikasihi kerana memahami dan mengizinkan pembabitan Aishah dalam MV Cinta Hatiku.

"Aishah masih sangat kecil, jadi saya perlu meminta persetujuan suami dulu. Alhamdulillah saya dikurniakan suami yang penyayang serta memahami tuntutan kerjaya seni Wany," kata penyanyi tinggi lampai itu.

Lagu Cinta Hatiku adalah ciptaan Rudy Nastia dan lirik oleh Mawar Kasih dirakam ketika usia kandungannya 37 minggu.

Wany turut berkongsi keterujaannya ketika merakamkan lagu Cinta Hatiku.

WANY pertaruh lagu Cinta Hatiku.
WANY pertaruh lagu Cinta Hatiku.

"Saya sangat teruja sejak proses rakaman vokal lagi kerana itu kali pertama saya merakamkan lagu ditemani seseorang dalam studio.

"Walaupun waktu itu Aishah masih dalam kandungan, tapi saya boleh rasakan kehadiran Aishah seolah-olah memberi semangat ketika dalam studio.

"Dua kali juga masuk studio, pertama ketika masih mengandung 37 minggu dan kali kedua disambung selepas saya selamat melahirkan," katanya.

Wany mengakui kehidupannya sangat berbeza selepas bergelar ibu dan kini masih dalam fasa menyesuaikan diri dalam menggalas tanggungjawabnya.

"Memang sangat berbeza kehidupan sebelum dan selepas bergelar ibu. Sekarang masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan. Terkadang sampai menangis, tapi bila tengok Aishah senyum, terus hilang semua rasa penat itu.

"Tambahan pula buat masa ini saya masih berulang-alik dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuching dan Kuching ke KL bagi memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Bagaimanapun, mungkin di masa depan saya bercadang terus menetap di Kuching bersama suami dan anak. Jika ada tuntutan kerja, saya akan terbang balik ke KL," kata Wany yang berterima kasih kepada suami, Mohd Al Adib Fahmi kerana memahami dan mengizinkan pembabitan Aishah dalam MV Cinta Hatiku.

Bahkan Wany berharap lagu itu mendapat tempat di hati peminat.

"Saya sangat berterima kasih pada semua penyokong yang masih sayangkan saya walaupun bergelar isteri dan ibu. Semoga kalian suka dengan lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 6:20 AM