Rossa Sera bersama seorang lelaki yang dikongsinya di IG
Rossa Sera bersama seorang lelaki yang dikongsinya di IG

Kuala Lumpur: Bekas isteri pelawak, Shuk Sahar, Rossa Sera menimbulkan teka-teki dalam kalangan pengikutnya di Instagram dan netizen selepas memuat naik hantaran seperti baru sahaja selesai melangsungkan pertunangan.

Hantaran itu turut disertakan dengan keterangan ringkas, memohon doa yang baik daripada pengikutnya.

"Assalamualaikum. Doa yang baik-baik semua," tulisnya.

Dalam hantaran itu, Sera tampil ayu dalam busana berwarna merah hati dan kelihatan, disarungkan cincin oleh seorang wanita.

Sera yang memegang jambangan bunga di tangan turut bergambar di samping seorang lelaki misteri bertubuh sasa atau 'sado'.

Wajah lelaki itu bagaimanapun ditutup dengan emoji dan Sera tidak menanda (tag) nama lelaki itu di Instagramnya.

Dalam ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah sekiranya dia kini sudah bergelar tunang orang.

Tidak hanya itu, malah, ada juga netizen yang menganggap itu sekadar gimik dan bukan majlis pertunangannya.

Harian Metro cuba menghubungi Sera dan Sera bersetuju untuk diwawancara menerusi panggilan telefon.

Bagaimanapun, nombor yang dihubungi, gagal ditembus.

Sera dan Shuk berkahwin pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatu Aimi, 4.

Perkahwinan mereka bagaimanapun berakhir selepas kedua-duanya bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 4:29 PM