Sera merakamkan detik Shuk bersama anak-anak semasa menghantar pelawak itu mengerjakan umrah, baru-baru ini.
Sera merakamkan detik Shuk bersama anak-anak semasa menghantar pelawak itu mengerjakan umrah, baru-baru ini.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Status rumah tangga pelawak Shuk Sahar dan isterinya, Rossa Sera terus menjadi tanda tanya dan belum menemui titik noktah.

Apatah lagi, kedua-duanya masih mengunci mulut mengenai status hubungan mereka sama ada masih suami isteri atau sudah bercerai kerana kehadiran orang ketiga.

Terbaru, Sera atau nama sebenarnya Rossalenah Natassyaih Asshaferah dalam satu hantaran di Instagram seakan-akan memberi bayangan masih berhubung dengan Shuk secara baik.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Insta Story, Sera merakamkan detik Shuk bersama anak-anak semasa menghantar pelawak itu mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Sera berpesan supaya Shuk memperbanyakkan doa dan berharap menjadi seorang bapa terbaik buat anak-anak mereka menerusi perkongsian berkenaan.

"Jaga diri, doa banyak-banyak di sana (Makkah) jadi ayah yang baik," tulisnya.

Dalam pada itu, Sera juga turut berkongsi kembali video memperlihatkan Shuk sedang berbual dengan anak-anaknya menerusi panggilan video.

Terdahulu, Rossa muncul menerusi program MeleTOP menjelaskan hubungan mereka sudah menemui noktah dan sudah mengambil keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak, pada awal Julai lalu.

Sebelum ini, Sera pernah mendedahkan sudah memfailkan cerai terhadap Shuk pada November tahun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:37 PM