Sera bersama tunangnya yang dirahsiakan.
Sera bersama tunangnya yang dirahsiakan.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Bukan gimik. Ia memang majlis pertunangan," kata bekas isteri pelawak Shuk Sahar, Rossa Sera, 31, mengesahkan mengenai majlis pertunangannya yang tular sejak dua hari lalu.

Sera berkata, majlis pertunangannya dengan lelaki berusia 38 tahun itu berlangsung di kediaman keluarga bapa saudaranya, di ibu kota.

"Netizen fikir itu adalah gimik sebab wajah saya tak disolek seperti orang bertunang. Mereka tak tahu, kulit wajah saya sedang 'breakout'," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sera, dia dan jejaka yang berasal dari Perak itu akan melangsungkan pernikahan tahun depan.

"Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, saya akan berkahwin tahun depan. Saya tak mahu kongsikan tarikh walaupun sudah ada. Namun, yang pasti ia akan berlangsung tahun depan," katanya.

Ditanya mengenai harapannya untuk fasa rumah tangga kali kedua ini, Sera berharap agar bakal suaminya dapat menerima dia dan keluarganya seadanya.

"Saya harap dia dapat terima anak-anak saya dan keluarga saya. Saya baru beberapa bulan mengenalinya. Anak-anak pun okay dengannya dan dah luangkan masa bersama," katanya.

Ditanya mengenai reaksi Shuk selepas berita pertunangan Sera tular, Sera berkata, dia juga tidak memaklumkan apa-apa kepada Shuk kerana mereka tidak lagi berhubung di mana-mana platform media sosial.

"Dia tak tahu sebab benda ini berlaku tiba-tiba. Saya pun tak ada hubungi dia. Dia sekat WhatsApp dan Instagram saya. Kami sekat satu sama lain," katanya.

Sera dan Shuk berkahwin pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatu Aimi, 4.

Perkahwinan mereka bagaimanapun berakhir selepas kedua-duanya bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 2:24 PM