SERA nafi perli netizen dalam video yang tular. FOTO IG SERA
SERA nafi perli netizen dalam video yang tular. FOTO IG SERA
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Isteri pelawak dan pengacara, Shuk Sahar iaitu Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera menafikan dengan tegas dakwaan dia memerli netizen.

Sera dalam hantaran dimuat naik di Instagram baru-baru ini, menyifatkan dakwaan itu adalah fitnah.

"Saya nak betulkan semula, ada yang kata saya perli netizen mengenai video ini. Sedangkan, video tu pada 14 Disember tahun lalu. Kenapa tak ada yang nak betulkan bila saya kata video ini fitnah.

"Memang nak 'pick-up' cerita yang fitnah, kebenaran tak nak 'pick-up' pula, takut kena balik sebab 'share' info tak betul," tulisnya.

Selain penjelasan itu, Sera juga dilihat membalas komen ditulis pengikutnya dengan memaklumkan dia pun tahu risiko apa akan terjadi sebelum membuat sesuatu tindakan. Katanya sudah empat tahun dia berdiam diri.

"Saya diam, sebab dahulu bila saya bersuara orang cakap buka aib. Bila saya terus diam pula, 'pelakor' bertepuk tangan, padan muka sebab tak berani bersuara. Dan sampai bila, isteri dalam dunia ini takut bersuara.

"Kalau kes isteri curang di luar sana, saya percaya lelaki pun tak boleh nak tahan ada wanita yang sanggup buat macam itu. Jadi, tolong kasihan dulu, nasib isteri yang duduk rumah jaga anak. Cari duit sendiri, menjual sana sini," katanya.

Sera berkata apa yang dilakukannya kerana sudah puas bersabar. Katanya, dalam hidup kita bukan ikut telunjuk orang lain. Berani kerana benar.

Ujarnya lagi, dia juga berani ke depan kerana percaya sifat Allah itu maha melindungi. Memang ada kebaikan dan keburukan dalam semua yang kita buat.

Dalam pada itu, ramai juga warganet yang meninggalkan pesan supaya Sera terus menjaga rumah tangganya. Malah kata mereka, Shuk juga sudah mendapat pengajaran daripada kesilapan dilakukan kerana berlaku curang.

Terdahulu, pada 18 Februari lalu kontrak perkhidmatan Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar ditamatkan serta-merta sebagai penyampai radio Hot FM selepas awalnya digantung sementara bermula 25 Januari lalu.

Kemelut rumah tangga pasangan ini, bagaimanapun sudah dapat diselesaikan dengan permohonan maaf dibuat Shuk yang membawa semula rombangan meminang Sera ke kediamannya pada 8 Februari lalu.

Sekitar Januari lalu, tular di media sosial mengenai pergolakan semula rumah tangga Shuk apabila isterinya membuat pendedahan berani di Instagram terhadap kecurangan dilakukan.

Pasangan Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 10:01 PM