LAGU disampaikan Hafiz mempunyai makna tersendiri.
LAGU disampaikan Hafiz mempunyai makna tersendiri.
Minda Ranggong


Sekian lama menyepikan diri daripada industri muzik tanah air, penyanyi Hafiz Suip kini muncul dengan single berjudul Terus Bersinar.

Hafiz, 33, nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip sebelum ini banyak menghasilkan lagu yang bertemakan kekeluargaan.

Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Cinta Kita ini memberitahu lagu single Terus Bersinar bergenre balada membawa mesej untuk anak.

"Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik.

"Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

"Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej," katanya.

Hafiz berkata dia terus jatuh cinta ketika kali pertama mendengar melodi balada indah yang digubah oleh Mas Dewangga dan Jova Devito, serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito serta terbitan Nova Music itu.

"Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

TERUS Bersinar lagu single terbaru Hafiz.
TERUS Bersinar lagu single terbaru Hafiz.

"Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru." katanya.

Menurut Hafiz lagi, lirik lagu ini menggambarkan pengorbanan ibu bapa dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak dan berharap agar lagu ini dapat memikat hati pendengarnya.

"Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti Insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar.

"Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh," katanya.

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu Terus Bersinar bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

"Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan.

"Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, Insya-Allah," katanya.

Terdahulu, netizen mempersoalkan imej baru Hafiz yang berbeza daripada kebiasaan di mana dia memuat naik gambar mempamerkannya berambut berwarna hijau di Instagram miliknya. Dia dikatakan mencerminkan lelaki barat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 6:47 AM