RIEF Daniel tampil dengan lagu berentak balada.
RIEF Daniel tampil dengan lagu berentak balada.
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


TIADA erti putus asa dalam kamus hidup Rief Daniel dalam usahanya terus mencipta nama dalam arena seni hiburan tanah air.

Rief Daniel, 26, pernah melancarkan tiga lagu single sebelum ini kini mempertaruhkan single terbaharu berjudul Takkan Mudah yang disifatkan karya yang cukup istimewa dan tidak akan dilupakan kerana ia dihasilkan khas buat dirinya.

Menariknya lagi karya nukilan komposer Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King itu dikatakan dihasilkan berdasarkan genre yang didambakan penyanyi itu sendiri.

"Semasa berjumpa dengan Mas Dewangga dan pasukannya, saya memberitahu mereka bahawa saya inginkan lagu 'power ballad' (balada).

"Mas Dewangga menunjukkan beberapa lagu yang sudah siap dihasilkan kepada saya dan hanya ada satu lagu yang berjaya menarik perhatian saya iaitu Takkan Mudah," katanya.

Rief Daniel atau nama sebenar Arief Daniel Zayadi berkongsi cabaran mencari tempo dan 'key' yang sesuai kerana setiap orang mempunyai suara tersendiri dan ingin memberi hasil yang memuaskan.

Dedah Rief, pembabitan diri dalam industri muzik tanah air sudah pasti mempunyai cabaran berliku-liku yang perlu dilalui lebih-lebih lagi dalam menghasilkan karya terbaik.

"Tetap maju berkarya walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan karya emas impian ini.

"Sewaktu proses rakaman, beberapa rakaman kami lakukan demi mengeluarkan hasil yang terbaik untuk dipasarkan ke khalayak ramai," kata Rief Daniel.

Tambahnya, selain dapat bekerjasama dengan individu dan pasukan yang sangat profesional, pengurusnya sendiri turut memberi idea bernas dalam menghasilkan karya terbaik.

Rief Daniel memberitahu bukan sahaja pihak 'audio production' dan 'video production' yang membabitkan diri dalam penghasilan karya ini malah pasukan Plan E Solution dan Universal Music Malaysia turut memberi impak besar.

"Saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan mereka kerana setiap individu mempunyai keistimewaan masing-masing serta tahu apa yang mereka harus lakukan dan memberi fokus sepenuhnya untuk karya ini," katanya.

Penghasilan muzik video (MV) Takkan Mudah turut berjalan lancar hasil daripada bekerjasama dengan Artbeast Production yang mempunyai idea dan pemikiran kreatif supaya penonton dan pendengar akan menerima mesej yang ingin disampaikan.

"Lagu ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang tidak dapat melupakan perempuan yang dia cintai dan mereka tidak lagi bersama, tetapi lelaki itu berharap perempuan itu akan kembali ke dalam hidupnya lagi.

"Jadi, saya berharap semua pendengar dapat rasa apa yang saya ingin sampaikan. Saya juga yakin pendengar boleh menerima serta menghayati setiap melodi, lirik dan pergerakan dalam MV untuk lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 6:45 AM