Hafiz Suip bersama Rosmin pada majlis pelancaran single terbarunya Terus Bersinar. Foto Rohanis Shukri
Hafiz Suip bersama Rosmin pada majlis pelancaran single terbarunya Terus Bersinar. Foto Rohanis Shukri
Ridzuan Abdul Rahman


Puchong: Pengarah Urusan Nova Music (M) Sdn Bhd, Rosmin Hashim menolak tanggapan populariti penyanyi, Hafiz Suip semakin merosot apabila video muzik lagu-lagunya mencatat tontonan rendah berbanding pembabitan awalnya dalam industri.

Rosmin ketika berucap sempena pelancaran single terbaru Hafiz berjudul Terus Bersinar, berkongsi fakta tontonan video muzik lagu Hafiz sejak single pertama, Kisah Cinta Kita pada 2019.

"Lagu ini menjadi runut bunyi drama rantaian Dia Menantu Rahsia slot Akasia TV3 di mana video muziknya dapat tontonan 20 juta di YouTube. Ia juga tersenarai sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 34 dan Hafiz menang Anugerah Vokal Terbaik untuk kali keempatnya.

"Single kedua Takdir Tercipta menampilkan Hafiz berduet dengan Adira menjadi runut bunyi drama rantaian Lelakimu Yang Dulu. Video muziknya ditonton oleh 16 juta penonton di YouTube.

"Yang ketiga Sinar Cinta menjadi runut bunyi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi dan keempat Berakhirlah Pencarianku berduet Ernie Zakri. Video muzik ini mendapat 4 juta tontonan YouTube dan tersenarai sebagai Top 5 kategori Persembahan Vokal Duo Terbaik dalam lagu AIM 23," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, trend penurunan tontonan sekarang disebabkan saingan daripada video pendek yang disiarkan di platform seperti TikTok, Short dan Reels.

"Jadi kebanyakan tontonan orang ramai kini beralih kepada shortform video. Memang tidak akan dapat jumlah tontonan seperti dulu lagi.

"Tapi ia tidak bermaksud lagu itu dah kurang popular atau Hafiz kurang popular. Cuma video muzik ini disaksikan dalam platform yang berbeza.

"Lagu-lagu Hafiz banyak ditonton dalam platform yang saya sebutkan ini. Saya percaya lagu Terus Bersinar juga akan capai kejayaan membanggakan," katanya.

Lagu Terus Bersinar berkonsep balada adalah ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala lirik ditulis oleh Datuk Arisz Ab Rahman, Mas Dewangga dan Jova Devito.

Ia turut menjadi runut bunyi untuk drama Surat Dari Tuhan di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:14 PM