BERHARAP rakyat Malaysia terus kental menghadapi dugaan melanda.
BERHARAP rakyat Malaysia terus kental menghadapi dugaan melanda.
Georgie Joseph


Meskipun dalam norma baharu dek pandemik yang masih menghantui, namun semangat menyambut hari bersejarah negara pada 31 Ogos yang diraikan esok, tetap membara di hati.

Tidak mahu ketinggalan untuk menyemarakkan semangat itu, kumpulan Here Comes July (HCJ) tampil melancarkan lagu baharu berjudul Suara Malaysia. Melihat judulnya saja pun, sudah tahu bahawa lagu ini pasti berkisar patriotisme.

HCJ yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass) dan Irfan Ismail (dram) juga mengakui lagu Suara Malaysia besar maknanya untuk mereka.

Karya hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, dan Aden King ini, sarat dengan mesej penting mengenai cinta terhadap Malaysia. Bahkan, HCJ mengakui alunannya bakal memberi semangat luar biasa kepada pendengar.

"Aspek paling utama yang kami minati adalah melodi dan liriknya. Melodi yang moden, namun tetap disuntik unsur tradisional menunjukkan kita sebagai sebuah negara, tidak perlu rasa bersalah untuk berkembang ke arah pemodenan atau dalam muzik sekalipun.

"Jangan lupa akan asal usul kita yang penuh kesenian, kesopanan dan kreativiti yang seharusnya ditonjolkan di mata dunia. Pilihan perkataan liriknya pula bertujuan memberi semangat kenegaraan dan memastikan rasa cinta kepada negara tidak luntur," kata HCJ.

HCJ percaya, nilai patriotisme secara semula jadi sudah terhasil dalam diri setiap rakyat. Namun, dengan adanya kebebasan media sosial hari ini, kadangkala masyarakat terpengaruh dengan anasir buruk. Malah lupa, Malaysia adalah segalanya untuk kita.

"Bagi kami, Malaysia adalah segalanya buat HCJ. Kami faham, kadangkala Malaysia ada kekurangannya. Namun, kekurangan itu yang menjadi titik semangat perubahan untuk kita menjadikan negara lebih baik.

"Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara. Tanpa Malaysia, kita tak dapat menikmati keselesaan hidup harmoni dalam masyarakat. Tanpa Malaysia, kita tak mampu berjaya. Ini maksud sebenar patriotisme bagi HCJ dalam lagu Suara Malaysia," katanya.

Kongsi HCJ, lagu itu bukan dihasilkan hanya kerana sambutan kemerdekaan semata-mata. Sebaliknya, mereka berharap lagu berkenaan bakal mencipta impaknya sendiri, menjadi siulan dan semboyan peniup semangat rakyat Malaysia terus bersatu padu.

HERE Comes July semarakkan mesej patriotisme menerusi lagu Suara Malaysia.
HERE Comes July semarakkan mesej patriotisme menerusi lagu Suara Malaysia.

"Lagu ini kami tujukan buat semua rakyat Malaysia yang perlu dihayati, bukan saja pada hari kemerdekaan, tetapi jadikan lagu ini sebagai peringatan, mengenai semangat dan keindahan negara kita.

"Mesej utama yang kami ingin terapkan adalah satu peringatan. Cinta pada negara tidak perlu dipaksa. Ia seharusnya datang secara semula jadi dan dengan cara ini cinta itu akan sentiasa berkekalan," katanya.

Selaku komposer penting Suara Malaysia, Mas Dewangga pula mengakui pada awalnya, proses menghasilkan lagu patriotik sedikit mencabar. Ia disebabkan untuk mencipta melodi, perlu betul-betul mesra dan mudah menangkap halwa telinga.

"Tapi, selepas kami dapat melodi diinginkan, proses pembikinan lagu menjadi lebih mudah. Proses menulis liriknya juga tidak lama kerana kami cuba bayangkan situasi kegembiraan dan perpaduan rakyat Malaysia ketika merdeka dilaungkan buat pertama kali.

"Apa perasaan ketika itu dan pastinya rakyat Malaysia dari berbilang kaum bersatu dalam meraikan kemerdekaan bersama. Dari situ, banyak idea mengalir dalam kepala, sekali gus penulisan jadi lancar," katanya.

Dalam pada itu, Mas Dewangga juga tidak mahu ambil remeh mengenai nilai komersial lagu ini. Justeru, dia menghasilkan susunan muzik seperti dibayangkan mereka sejak awal yang mahukan melodi rancak dan menaikkan semangat pendengar.

"Kami mahukan sesuatu yang lebih segar dan terkini untuk memikat hati anak muda supaya lebih bersifat patriotik apabila mendengar lagu ini. Idea susunan asasnya ambil masa dalam dua jam saja. Selepas kami dapat hala tuju, terus dimasukkan beberapa melodi dan lirik," katanya.

Dalam pada itu, HCJ juga berharap Suara Malaysia menjadi pembakar semangat untuk rakyat terus kuat mengharungi dugaan pandemik sekarang. Mereka yakin dengan semangat kental, kita semua pasti dapat bertemu sinar terang.

"Kami faham, ramai yang menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan seharian. Bahkan, satu dunia menghadapi dugaan ini. Namun, apa membezakan Malaysia dengan negara lain adalah semangat kebersamaan kita sebagai rakyat.

"Saling membantu bila ada yang memerlukan, berkongsi bila ada rezeki lebih. Kami yakin, dengan penerapan nilai ini dalam majoriti rakyat kita, tidak kira umur, kaum, agama, semua orang mampu mengharungi dugaan ini dengan jayanya bersama," katanya.

HCJ mula aktif sejak 2013 dan pernah membuat persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music's Friends from Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018, dan Cyber Fest.

Terdahulu, mereka juga tampil dengan lagu Juwita yang menjadi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis sehingga meraih perhatian lebih ramai pencinta muzik tempatan. Awal tahun ini, HCJ muncul melancarkan lagu berjudul Sembunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 6:49 AM