LIZA Hanim
LIZA Hanim
Syafil Syazwan Jefri

Petaling Jaya: Penyanyi, Liza Hanim yang juga kawan rapat Allahyarham Bad Indigo sejak 23 tahun lalu berkongsi mengenai serangan jantung yang pernah dialami Bad sebelum ini.

Liza ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, di sini, berkata, suaminya, Shah Indigo yang juga sahabat karib Allahyarham yang memaklumkannya mengenai berita kematian itu.

"Saya mengenali arwah sejak 23 tahun lalu. Memang dia ada masalah jantung sebab dia pernah kena serangan jantung. Di depan mata saya sendiri pun arwah pernah terkena serangan jantung.

"Suami saya nampak terkejut, tapi nampak dia kuat juga. Mereka dah berkawan lama dan sangat akrab dan tidur sebantal sejak remaja lagi.

"Apabila arwah dah mula sakit dan sampai jari kakinya dipotong, itu jadi macam peringatan untuk kita semua juga," katanya kepada Harian Metro.

Liza turut berkongsi mengenai keterujaan Bad kerana dia bersama Indigo baru saja menyiapkan lagu baharu.

"Mereka (Indigo) sebenarnya dah siap rakamkan lagu baru. Arwah antara yang paling teruja sebab dia sangat cintakan nyanyian dan muzik.

"Namun, hasratnya tak kesampaian untuk muncul dengan lagu baharu itu," katanya.

Jenazah Bad disolat di Masjid Tun Abdul Aziz, di sini, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 2:52 PM