Shah Indigo
Shah Indigo
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Anggota kumpulan Indigo yang juga sahabat karib Allahyarham Bad Indigo, Shahrin Samsudin atau Shah memaklumkan dia sudah tahu mengenai keadaan kesihatan dan masalah jantung Bad sejak 2015.

Namun, atas permintaan Bad, dia terpaksa menyimpan 'rahsia' itu sebagai tanda hormat kepada sahabatnya yang meninggal dunia malam semalam.

"Saya dengan dia memang rapat, cuma dia tak suka sangat bercerita mengenai masalah dia.

"Jadi, dia sendiri minta agar saya simpan 'rahsia' mengenai penyakit itu dan saya hormati permintaannya," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai rasa kehilangan selepas pemergian Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, Shah berkata, Bad sentiasa menjadi orang pertama berikan ucapan ulang tahun kelahiran dalam kumpulan Indigo.

"Kami ada kumpulan WhatsApp untuk rakan-rakan Indigo. Jadi, setiap kali ulang tahun kelahiran sesiapa, dia akan jadi yang pertama untuk hantarkan ucapan. Dia yang paling ingat tarikh ulang tahun kelahiran semua orang.

"Dia sangat penyayang dan kelakar. Lawak dia sangat spontan. Perkara-perkara itulah akan buatkan kami semua rindukannya," katanya.

Berkongsi mengenai lagu terakhir yang dirakamkan Indigo bersama Bad berjudul Izinkan Aku, kini, ia memberi pemahaman berbeza buat Shah.

"Lagu itu adalah lagu ketuhanan dan Bad sangat teruja untuk menyiapkan lagu ini. Bila dia dah tak ada, barulah saya faham. Kami rancang untuk jalankan penggambaran video muzik dan lancarkan pada hujung tahun ini.

"Tapi, kami akan bincang semula. Mungkin ini akan menjadi lagu 'tribute' buat Bad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 6:21 PM