DUA daripada tiga anggota Indigo iaitu Zam (dari kiri) dan Shah.
DUA daripada tiga anggota Indigo iaitu Zam (dari kiri) dan Shah.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Arwah Bad yang beriya-iya sangat nak nyanyikan lagu Izinkan Aku itu. Kami teruskan buat muzik video lagu itu selepas mendapat restu daripada ibu arwah," kata anggota kumpulan Indigo, Shah.

Shah berkata demikian ketika diminta mengulas lagu baharu Indigo, Izinkan Aku yang juga bingkisan terakhir Allahyarham Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah bersama kumpulan itu yang dirakamkan pada tahun lalu.

Menurut Shah atau nama sebenarnya, Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, 49, arwah Bad sudah merakamkan lagu Izinkan Aku itu sebelum beliau meninggal dunia.

Katanya, kumpulan Indigo juga sudah merancang untuk buat muzik video lagu berkenaan pada tahun lalu, namun tidak kesampaian bila arwah Bad meninggal dunia.

"Ketika arwah Bad meninggal dunia, kami pun tak tahu nak teruskan atau tidak buat muzik video lagu Izinkan Aku.

"Namun, selepas berbincang dan mendapat restu daripada ibu arwah, kami teruskan pembikinan muzik video terbabit sebagai 'tribute' buat arwah Bad," katanya kepada Harian Metro.

Shah ditemui pada majlis minum petang sempena meraikan penyanyi Liza Hanim 27 Years Journey In Concert  yang berlangsung di Sentul, petang, semalam.

Selain Shah, kumpulan Indigo dianggotai Zam atau Shahrul Nizam Abdul Aziz, 48 dan Shaz atau Nor Shazman Nor Shahid, 48.

Mengulas lagu itu lagi, kata Shah, mereka teruskan juga untuk menyiapkan muzik video lagu Izinkan Aku kerana ia mempunyai mesej ketuhanan.

Katanya, pada usia anggota kumpulan itu yang hampir mencecah angka 50-an, pastinya lagu cinta tidak lagi sesuai.

"Arwah Bad juga sudah tidak boleh menyanyi lagu 'key' yang tinggi kerana keadaan kesihatannya ketika itu.

"Bila kami dengar semula lagu dan lirik lagu ketuhanan Izinkan Aku itu memang dekat dengan arwah.

"Harapan kami bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat pada arwah dan pahala itu sampai kepadanya," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Bad dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat masalah kesihatan berkaitan jantung pada 26 Oktober tahun lalu.

Jenazah arwah Bad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 5:18 PM