Ashira bersalaman dan memeluk ibu Bad.
Ashira bersalaman dan memeluk ibu Bad.
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Bekas isteri Allahyarham Bad Indigo, Ashira Aziz menggambarkan Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah sebagai individu yang penyayang dan sentiasa mendahulukan orang lain.

Ashira ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini berkata, sikap Bad akan sentiasa diingatinya.

"Arwah seorang lelaki yang baik, kelakar dan sangat menyokong. Dia sangat penyayang. Itu yang dapat saya gambarkan mengenainya.

"Dia sentiasa mendahulukan orang yang dia sayang. Walaupun dia tengah sakit, cara dia ambil berat itu lebih daripada dia ambil berat mengenai diri sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai masalah jantung yang dihidapi Bad, Ashira berkata, dia sedia maklum mengenainya sejak mereka masih suami isteri.

"Saya tahu dia ada masalah jantung. Dia memang ada maklumkan kepada saya. Tapi, dah lama juga dia tak kena serangan sakit dada dan sebagainya.

"Dia ada beritahu saya mengenai ubat-ubat yang dia selalu bawa. Sekurang-kurangnya, saya akan tahu ubat apa yang dia perlukan bila berlaku sesuatu," katanya yang turut bertemu dan bersalaman dengan ibu Bad, Sharizan Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 6:16 PM