Liza Hanim
Liza Hanim
Zaara Talita


Petaling Jaya: Penyanyi, Liza Hanim mendedahkan dia dan suami, Shah pernah menasihati Bad Indigo untuk mendapatkan rawatan bagi masalah jantung yang dihidapinya.

Sebagai teman rapat, Liza berkata, Allahyarham mempunyai dana yang cukup, namun berkeras untuk tidak menggunakan wang berkenaan.

"Dia ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya hendak menjalani pembedahan, namun berkeras tidak menggunakannya kerana ingin menyimpan buat anak-anaknya.

"Memang ramai tidak mengetahui mengenai penyakit yang dihidapinya itu, tetapi semua tahu dia menghidap kencing manis. Bukan hak kami untuk berkongsi sebenarnya.

"Ini cerita 10 tahun dulu yang mana dia sepatutnya menjalani pembedahan memasukkan 'sten' untuk masalah jantungnya itu," katanya.

Liza turut berkongsi Bad pernah terkena serangan jantung di hadapannya ketika sedang bekerja di pejabat.

"Selama mana saya kenal suami saya, selama itu juga tempoh saya mengenali arwah. Boleh dikatakan sejak 23 tahun lalu.

"Memang dia ada masalah jantung sebab dia pernah kena serangan jantung. Di depan mata saya sendiri pun arwah pernah terkena serangan jantung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 6:29 PM