Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul Ein Mohamad Azmi merasmikan  Program Seloka Lagenda Waris Seni di Hotel Grand Barakah. FOTO FATHIL ASRI
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul Ein Mohamad Azmi merasmikan Program Seloka Lagenda Waris Seni di Hotel Grand Barakah. FOTO FATHIL ASRI
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Berhasrat membantu artis 'suam-suam kuku', veteran dan yang memerlukan menjadi matlamat penting Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) dalam menyumbang kepada industri seni tempatan.

Pengerusinya, Amran Nasrudin berkata, persatuan itu diwujudkan dua tahun lalu dan berhasrat dapat memberi manfaat kepada ramai anak seni pada masa akan datang.

"Pada awalnya, kami memikirkan apakah sumbangan kepada penggiat seni dan artis tanah air. Jadi, kami menubuhkan persatuan ini untuk membantu dan memberi manfaat kepada penggiat seni. 

"Antara lain tujuannya adalah untuk menyemarakkan industri seni tanah air. Konsep Pemekar dengan persatuan seni lain seakan sama, tapi matlamatnya ada perbezaan sedikit. 

"Kami mengutamakan kepada artis yang agak 'suam-suam kuku', veteran dan yang memerlukan. Matlamat kami adalah untuk membantu mendapatkan prasarana hiburan yang dimuatkan dalam mana-mana program," katanya.

Terbaru, Pemekar akan mengadakan program Seloka Legenda Waris Seni akan dianjurkan di Hotel Grand Barakah, Ampang, pada 13 Oktober ini bertujuan memartabatkan seniman dan seniwati melalui pewarisnya.

Mengangkat tema, 'ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi', menurut Amran, program berunsur ilmiah dengan hiburan itu sudah dirancang lama dan bersyukur akhirnya dapat direalisasikan.

"Konsep program ini adalah bual bicara membabitkan legasi anak seni tanah air terdiri daripada waris yang mengikut jejak langkah ibu bapa mereka. 

"Jadi, disebabkan itu kami mengetengahkan tema Seloka Legenda Waris Seni yang memberi maksud legasi seseorang penggiat seni itu akan diteruskan oleh waris mereka. Tidak kira cabang seni yang diceburi," katanya.

Antara waris penggiat seni terbabit adalah Fauziah Ahmad Daud (waris Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah), Dilla Hussein dan Fairuz Hussein (waris Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail), Hairie Cool (waris Sophia Ibrahim) dan Osama Yamani (waris Datuk Jamal Abdillah).

Amran berkata, setiap waris kepada seniman dan seniwati negara itu akan berkongsi mengenai lagu dan lakonan yang pernah dijayakan waris mereka bermula dari era 1950-an lagi.

"Program ini juga akan mengetengahkan kembali muzik dan lagu-lagu popular mereka dalam segmen persembahan pentas dan lagu oleh pewaris mereka melalui visual daripada filem.

"Selain itu, turut diselitkan adalah pelbagai elemen tambahan supaya penonton tidak rasa bosan. Harapan kami sebenarnya amat tinggi memberikan pengalaman generasi baharu datang dan melihat kejayaan daripada anak seni bertaraf legenda ini," katanya.

Program yang terbahagi kepada tiga segmen perkongsian ini akan dikendalikan oleh pelakon dan pelawak, Azrul Zaidi sebagai moderator.

Amran ditemui pada sidang media program itu baru-baru ini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul 'Ein Mohamad Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 9:42 AM