Datuk Fazley Yaakob
Datuk Fazley Yaakob
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan usahawan Datuk Fazley Yaakob menasihatkan kepada peserta Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan supaya tidak hanya membuat persediaan vokal semata-mata, sebaliknya ambil tahu mengenai dunia media sosial.

Fazley yang juga bekas peserta GV musim lapan berkata, setiap selebriti perlu mempunyai pasukan untuk membaca dan memadam komen negatif daripada netizen.

"Saya tahu ada dalam kalangan peserta GV musim ini yang berhati tisu (rapuh). Saya kenal dan rapat dengan beberapa peserta.

"Pesanan saya jika tidak kuat jangan baca ciapan di Twitter dan jangan hanya buat persediaan vokal saja tapi perlu juga ambil tahu mengenai media sosial.

"Setiap peserta juga digalakkan mempunyai pasukan media sosial yang boleh membaca atau memadam sebarang komen negatif daripada netizen. Jangan sesekali jatuh semangat kerana komen negatif orang atau kita membalas komen berkenaan kerana ia bukan langkah yang betul," katanya.

Fazley ditemui pada Majlis Pelancaran Menu Baharu Starbucks di sebuah pusat membeli belah di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fazley bersetuju apabila program GV ditawarkan kepada penyanyi yang masih bergiat aktif dalam bidang seni untuk mengambil bahagian pada musim terbaharu itu.

"Program realiti ini bukan hanya membantu artis yang suam-suam kuku sahaja, tapi pentas ini adalah platform pertandingan. Bila saya sendiri pernah sertai GV, saya tahu ini adalah pertandingan yang sebenar.

"Jadi apabila membabitkan sebuah pertandingan tidak semestinya kalau orang itu adalah suam-suam kuku atau sedang hebat mereka tidak boleh berada di pentas yang sama. Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan tersendiri," katanya.

Untuk rekod, penyertaan Fazley di pentas GV8 hanya mampu bertahan sehingga minggu keempat sekali gus menjadi peserta kedua yang tersingkir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 1:08 PM